Kalau belum ajal

Mangsa terjatuh dari rumahnya di tingkat 10 sehingga ke tingkat lima dalam kejadian Khamis lalu.
Mangsa terjatuh dari rumahnya di tingkat 10 sehingga ke tingkat lima dalam kejadian Khamis lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang peniaga patah tulang kaki kiri dan tulang pinggul selepas terjatuh dari tingkat 10 rumahnya di Taman Kheng Tuan, Jalan Van Praagh, Jelutong di sini.

Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa berusia 44 tahun dipercayai terjatuh dari rumahnya ke tingkat lima pada jam 2.30 pagi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian disedari isteri mangsa yang sedang tidur di rumah mereka.

Menurutnya, mangsa kini dalam keadaan tidak sedarkan diri dan masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Menurut isteri mangsa, ketika dia sedang tidur, dia dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat seperti orang terjatuh. Selepas keluar dari bilik tidurnya, dia terperanjat apabila melihat tingkap rumahnya terbuka dan suaminya tiada di ruang tamu.

"Apabila melihat ke bawah, suri rumah berusia 35 tahun itu mendapati suaminya telah terjatuh ke tingkat lima flat tersebut. Dia bergegas turun ke bawah dan mendapati suaminya dalam keadaan sedar namun tidak boleh bercakap," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, mangsa masih dirawat di HPP dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selain dipasang alat pernafasan.

"Isteri mangsa memberitahu, sebelum kejadian, mangsa sedang meminum arak berseorang di ruang tamu rumah mereka. Mangsa dipercayai jatuh melalui tingkap (yang tidak dipasang besi penghadang) selepas tidak dapat mengawal dirinya kerana mabuk.

Artikel Berkaitan:

"Tiada saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian malah isteri mangsa juga tidak tahu kejadian sebenar kerana sedang tidur ketika mangsa dikatakan terjatuh. Doktor mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan pada badan mangsa selain mulutnya berbau minuman keras ketika dihantar ke hospital," katanya.

Tambahnya, siasatan mendapati, mangsa mengambil minuman keras buatan dari China yang mengandungi 35 peratus alkohol.