28 penagih, pengedar ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis menahan 28 pengedar dan penagih dadah dalam Op Bersepadu Narkotik yang dilaksanakan selama dua hari sejak semalam di Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, Superintendan Roslan Tahir berkata, operasi itu dijalankan oleh JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Beliau berkata, ia bagi mengesan mereka yang sebelum ini ditahan di dua daerah terbabit dan gagal hadir ke mahkamah setelah diberikan jaminan polis bagi beberapa kes memasukkan dadah ke dalam badan yang disiasat di bawah Seksyen 15 (1)a Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Seramai empat pegawai dan 20 anggota bahagian narkotik yang dibahagikan kepada empat kumpulan telah dikerah bagi mengesan suspek yang dikehendaki.

"Hasil operasi telah berjaya menahan seramai 22 orang lelaki yang dikehendaki berkait waran tangkap bagi tujuan pendakwaan," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, dalam operasi itu polis turut menahan enam lelaki dan merampas dadah dipercayai jenis methamphetamine dengan anggaran berat 59.77 gram dan heroin seberat 3.43 gram.

"Tiga daripada enam suspek yang ditangkap telah direman selama seminggu dan disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952, seorang di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 manakala dua lagi suspek mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952.

"Sementara 22 lagi suspek yang dikehendaki berkait waran tangkap telah dituduh di Mahkamah Kuala Terengganu," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: