Chew Mei Fun letak jawatan Setiausaha Agung MCA

 Chew Mei Fun
Chew Mei Fun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datin Paduka Chew Mei Fun meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung MCA berkuat kuasa hari ini bagi melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Peking, China September depan.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dalam kenyataannya menyampaikan penghargaan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan penting dalam MCA.

Pemimpin berusia 55 tahun itu turut menyampaikan penghargaan kepada barisan kepimpinan MCA yang sentiasa memberikan kerjasama kepada beliau dalam menjalankan tugas selama ini.

Mei Fun memulakan karier politik pada tahun 1995 sebagai Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Raub, Teng Gaik Kwan.

Kerjaya politiknya meningkat apabila memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya Utara pada 1999 dan mengekalkannya pada Pilihanraya Umum 2004.

Pada tahun 2014, beliau tewas kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil Kajang dan turut tewas pada Pilihan Raya Umum lalu bagi kerusi Raub.

Sementara itu, Ka Siong berkata, bagi pihak jawatankuasa pusat dan semua ahli, beliau mengucapkan terima kasih kepada Mei Fun atas perkhidmatannya kepada parti.

Jelas Ka Siong, Mei Fun telah bertanggungjawab memulihkan MCA selepas kekalahan parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Saya menerima peletakan jawatannya dengan hati yang berat, kami berharap beliau berjaya dalam akademik dan akan menunggu kepulangannya untuk berkhidmat kepada parti dan negara,” katanya.