Pindaan perlembagaan Bersatu untuk kukuhkan parti: Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diiringi Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden PPBM pada Perhimpunan Agung Khas PPBM di MAEPS Serdang hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diiringi Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden PPBM pada Perhimpunan Agung Khas PPBM di MAEPS Serdang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat bagi memperkukuhkan perjuangan parti, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berucap pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu bagi membahaskan pindaan itu, Perdana Menteri berkata sesebuah parti politik memerlukan perlembagaan supaya kepimpinan parti dapat disusun bagi menjayakan perjuangannya.

"Tanpa susunan yang rapi dengan ketua-ketua tertentu, jawatan-jawatan tertentu, tanggungjawab-tanggungjawab tertentu, sudah tentu parti kita tak dapat bergerak.

"Adanya pemimpin-pemimpin ini semata-mata untuk memberi kekuatan kepada parti supaya ia dapat berjuang secara tersusun, teratur dan dengan itu lebih besar kemungkinan parti akan menang," katanya pada pehimpunan itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata wujudnya kepimpinan parti seperti pengerusi, presiden, timbalan presiden, naib presiden, selain memegang jawatan dalam kerajaan, adalah untuk kepentingan pengurusan sahaja.

Untuk itu, Dr Mahathir berkata ahli Bersatu harus sanggup berkorban dalam parti dan tidak hanya berjuang semata-mata untuk memegang jawatan yang akhirnya menyebabkan parti kalah dalam pilihan raya.

"Inilah sebabnya kita perkenalkan pindaan perlembagaan kita, tujuan kita tak lain tak bukan untuk menjayakan perjuangan kita.

"Bukan untuk Dr Mahathir jadi perdana menteri, bukan untuk Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), bukan untuk Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir), bukan untuk naib-naib presiden. Kita berjuang untuk bangsa kita, agama kita dan tanah air kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perhimpunan hari ini merupakan sejarah bagi parti itu kerana pertama kali diadakan bagi membincangkan pindaan-pindaan perlembagaan yang telah diguna pakai sejak parti itu ditubuhkan kira-kira tiga tahun lepas.

Muhyiddin berkata pindaan perlembagaan yang dibincangkan itu bertujuan untuk menentukan hala tuju parti agar lebih jelas dan perjuangan parti lebih mantap dan kukuh.

"Pindaan ini dicadangkan supaya parti Bersatu akan terus mara ke hadapan melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar yang diamanahkan oleh rakyat keseluruhannya.

"Sebab itu tindakan pindaan perlembagaan itu bersesuaian dengan perkembangan semasa, saya sedar bahawa pindaan perlembagaan sebegini bukan muktamad dan perhimpunan seperti ini tidaklah dikatakan perhimpunan terakhir kerana masa ke hadapan kita akan lihat perkembangan baharu yang berlaku yang memerlukan penelitian semua," kata Muhyiddin.

Isnin lepas, Dr Mahathir mengumumkan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan ahli biasa memainkan peranan dalam menentukan pemilihan jawatankuasa peringkat cawangan dan bahagian manakala perwakilan bahagian pula menentukan pemilihan kepimpinan tertinggi parti. -Bernama