Remaja perempuan OKU didera ibu, abang

Gambar remaja perempuan OKU yang dipaksa tidur di luar rumah tular sejak semalam.
Gambar remaja perempuan OKU yang dipaksa tidur di luar rumah tular sejak semalam.
A
A
A

ARAU - Seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran menjadi mangsa dera ibu dan abang kandungnya di kediaman mereka di Kampung Gial, di sini semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes penderaan remaja berusia 14 tahun itu selepas ia ditularkan jiran mangsa menerusi satu akaun Twitter sejak malam tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd

Katanya, keterangan awal mangsa menyatakan dia mendakwa dipukul oleh ibu dan abangnya yang masing-masing berusia 40 dan 15 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap mangsa juga menemui kecederaan lama pada bahagian belakang badan, pergelangan tangan kiri dan kesan luka baru di belakang leher," katanya.

Menurutnya, ibu dan abang kandung mangsa sudah dipanggil polis pagi tadi bagi membantu siasatan.

"Polis masih menyiasat sejak bila mangsa dibiarkan tidur di luar rumah oleh keluarganya itu," katanya yang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, tular rakaman seorang remaja perempuan tidur di luar rumah di Twitter dipercayai didera oleh keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Rakaman itu dimuat naik oleh jiran mangsa yang prihatin selepas mendakwa remaja terbabit dibiarkan tidur di luar rumah.

Dalam rakaman terbabit, mangsa turut mendakwa disimbah air panas, dipukul dengan batang buluh termasuk anggota badannya dikepit playar.

Rakaman yang mendapat lebih 200,000 tontonan dan lebih 20,000 diulang ciap pengguna mendapat reaksi netizen dan pihak berkuasa di negeri ini termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).