Agong zahirkan keprihatinan kebajikan anggota bomba

Pasukan 'Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia' (STORM) melakukan persembahan pada majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
Pasukan 'Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia' (STORM) melakukan persembahan pada majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan dan kebajikan anggota bomba termasuk pemberian elaun kritikal yang masih dalam pertimbangan kerajaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, Seri Paduka mengambil berat peranan anggota bomba sebagai barisan hadapan yang sering membantu rakyat.

“Agong tadi ada sebut kepada saya mengenai (pemberian) elaun kritikal, saya beritahu belum dapat diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka di sini.

Sultan Abdullah diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan majlis sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019, bertema “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” yang menyaksikan pelbagai acara termasuk perbarisan anggota dan perarakan jentera, serta persembahan kebombaan diadakan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berharap kerajaan dapat segera mempertimbangkan pemberian elaun kritikal kepada 14,500 anggota JBPM.

Sebanyak RM18 juta diperlukan untuk diagihkan kepada anggota bomba dengan kadar RM200 sebulan jika dilaksanakan pada tahun ini.

"Kita percaya pertimbangan sewajarnya akan diberikan pihak kerajaan dengan melihat balik risiko cabaran dan bentuk nature kerja yang dihadapi anggota bomba dan penyelamat," katanya.

Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata pemberian elaun yang memberi manfaat kepada lebih 14,000 anggota bomba seluruh negara itu mungkin tidak dapat dilaksanakan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Selain menunggu kata putus daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berkata ada beberapa prosedur lain yang perlu dilihat termasuk kedudukan kewangan negara.- Bernama