Video intim: KPN dedah terima tekanan politik

Abdul Hamid ketika hadir merasmkan Majlis Penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 di Kem Bina Semangat Kuala Kubu Bharu, pagi tadi.
A
A

HULU SELANGOR - [VIDEO] Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mendedahkan beliau menerima tekanan politik bukan dari kalangan pemimpin kerajaan berhubung video intim mengaitkan seorang menteri.

Beliau berkata, video menyentuh sensitiviti itu menarik minat ramai pihak terutama ahli politik dengan tekanan terhadap dirinya semakin meningkat.

Menurutnya, ada pihak yang mengeluarkan kenyataan mendesak beliau mengesahkan ketulenan video berkenaan.

"Saya hanya umum hasil analisa dan bila saya umumkan, marah saya pula. Pelbagai desakan dikenakan ke atas saya dari politik luar, bukan dalam kerajaan atau pucuk pimpinan kerajaan.

"Kes video ini banyak buang masa dan saya dibebankan dengan perkara remeh dan mengaibkan.

"Tak sepatutnya berlaku bila ada kata saya mengeluarkan kenyataan berbaur politik. Saya dah sebut ada dua aspek dalam kes ini, satu mengenai video itu dan satu lagi, siapa yang sebarkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 di Kem Bina Semangat Kuala Kubu Bharu, pagi tadi.

Abdul Hamid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan termasuk kos penerbangan pegawai penyiasat bagi menjalankan siasatan kes video tersebut.

Abdul Hamid bersama kontijen Perak yang menjuarai Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 di Kem Bina Semangat Kuala Kubu Bharu.
Abdul Hamid bersama kontijen Perak yang menjuarai Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 di Kem Bina Semangat Kuala Kubu Bharu.

Menurutnya, beliau meminta ahli politik supaya berpolitik dalam kancah parameter mereka agar tidak membebankan pihak lain termasuk masyarakat.

"Saya lihat orang politik ini banyak buang masa. Sudah lebih setahun PRU14 tapi masih dengan perkara-perkara sebegini.

"Ada pula yang memberi komen di media sosial berlatar belakang undang-undang tapi komen tidak setimpal dengan kelulusan. Saya rasa terkilan.

"Saya terima politik itu tapi perkara yang dibawa itu tidak baik. Isu tak cantik dan nasihat kepada orang politik supaya mereka lebih bertanggungjawab.

"Nak ribut apa pun biarlah dalam parameter anda. Jangan bebankan masyarakat dan PDRM. Biar polis jalankan kerja dengan efisien, itu janji saya kepada kerajaan dan harapan rakyat," katanya.

Abdul Hamid berkata, siasatan kes berkenaan belum selesai dan banyak langkah yang perlu diambil bagi melengkapkan siasatan tanpa sebarang kesilapan.

Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa tempoh tahanan reman beberapa individu berkaitan video intim tersebut akan disambung untuk siasatan lanjut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia