Orang kecil menjadi orang besar

A
A
A

APABILA orang kecil menjadi orang besar, sudah tentu banyak perkara yang bermain di benak pemikiran kita.

Ada yang berpandangan bahawa orang kecil akan menjadi angkuh dan besar kepala apabila menjadi orang besar, ada juga yang berasa orang kecil akan mudah lupa diri bila menjadi orang besar serta pelbagai lagi konotasi negatif.

Apa yang jelas, pernyataan tersebut adalah tidak adil kerana tidak semuanya orang besar berperangai sedemikian. Malah ramai juga orang besar yang lebih baik berbanding dengan orang kecil.

Sebetulnya, tidak dinafikan bahawa ramai yang bercita-cita untuk menjadi orang besar. Ada yang secara tidak disangka-sangka menjadi orang besar.

Malah ada juga yang sentiasa ‘lapar’ mencari ruang untuk menjadi orang besar. Selain itu, ada juga yang menjadi orang besar setelah melalui perjuangan dan perit-getir serta jalan yang berliku sebelum bergelar orang besar.

Berkaitan dengan menjadi orang besar secara tidak disangka-sangka, teringat saya dalam sebuah filem di mana Jackie Chan secara tidak sengaja telah dipilih untuk menjadi ketua sebuah kumpulan gengster.

Natijahnya, beliau mula rasa dungu untuk menyesuaikan diri dengan jawatan tersebut. Namun pada masa yang sama begitu bangga kerana dilayan seperti seorang Raja.

Begitu juga dengan kisah Pelayaran Gulliver sebuah buku fiksyen sastera yang ditulis oleh Jonathan Swift pada tahun 1726 juga memaparkan bagaimana seseorang yang tiada apa-apa telah diangkat menjadi wira di sebuah negara yang didiami oleh orang kecil setelah beliau terdampar di pulau tersebut kerana kapalnya telah pecah dan karam.

Artikel Berkaitan:

Pun begitu, akhirnya beliau telah dihalau keluar dari pulau tersebut kerana telah dianggap menghina Raja kerana memadam kebakaran istana dengan air kencingnya sendiri.

Walaupun kebakaran tersebut dapat dipadamkan, namun perbuatan tersebut tidak boleh diterima.KronismeFenomena ‘tidak sedar diri’ bila menjadi orang besar ini sering berlaku di mana sahaja.

Tidak kiralah, menjadi orang besar kerana menang pilihan raya, menjadi orang besar kerana kronisme atau menjadi orang besar kerana membalas budi.

Maklumlah, bila menjadi orang besar tanpa adanya pengalaman, banyak perkara mudah menjadi payah. Malah ada juga perkara yang sepatutnya dibuat payah telah dijadikan mudah kerana kepentingan kroni mereka.

Natijahnya, bukan sahaja mereka merosakkan diri sendiri malah keseluruhan sistem serta denyut nadi rakyat tidak seperti dahulu lagi.

Apa yang mereka tahu, mengugut jika dicabar, melenting apabila ditegur dan menghukum jika terlebih. Apa yang paling ditakuti, dendam yang ada dalam diri masih lagi membara dan terus membara sehinggalah hati berasa puas dengan kejatuhan orang lain.

Selain itu, terdapat juga orang kecil yang sentiasa ‘lapar’ untuk menjadi orang besar. Rakusnya mereka, sehinggakan sistem dan prosedur dilanggarnya tanpa rasa bersalah.

Kerja mereka hanyalah menyasarkan untuk berkawan dengan orang besar dan menghadiri pula majlis besar-besar. Malah ceriteranya juga hanya terbatas kepada kehebatan dan mengagungkan diri sendiri.

Pendek kata, orang-orang kecil adalah lekeh serta tiada nilai tambah pun di sisi mereka. Pun begitu, bila mereka gagal mencapai matlamatnya, tidak segan silu datang pula untuk bermesra dengan puak-puak kecil ini. Mujurlah, orang kecil ini masih waras dan matang untuk menerima mereka kembali.

Sebetulnya, jika kita hanya membandingkan orang kecil dan orang besar dari segi perbandingan fizikal semata-mata, bermakna kita sebenarnya telah salah mentafsir sebuah kehidupan.

Jika kita berasa dengan kekayaan, pangkat yang besar serta darjat yang tinggi adalah penentu untuk menjadi orang besar, kita sebenarnya jauh daripada bersifat orang yang bijaksana.

Perlu diingat, ciri-ciri bijaksana ini adalah teras kepada perkembangan kehidupan manusia. Selagi kita tidak belajar untuk menjadi bijaksana selagi itulah kita akan meletakkan kayu ukur pemikiran dan perasaan hanyalah bersandarkan kepada nafsu semata-mata.

Sedarlah, jika kita telah menjadi orang besar dan jiwa kita masih lagi seperti orang kecil adalah jelas kita telah mencapai tahap kematangan yang sebenar-benarnya. Hakikatnya, hanya ketakwaan membezakan orang kecil dan orang besar di sisi ALLAH.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Univeristi Malaysis Perlis