Wujudkan gerai pusat sehenti Musang King

Musang King Tanah Merah mempunyai kualiti tersendiri.
Musang King Tanah Merah mempunyai kualiti tersendiri.
A
A
A

TANAH MERAH - Bagi mengurangkan lambakan durian Musang King, Kelab Komuniti Musang King Tanah Merah membuka gerai jualan berkonsepkan pusat sehenti dengan membeli secara borong.

Lebih menariknya, gerai jualan terbabit turut menyediakan harga mampu milik durian itu bersama pulut iaitu RM15 untuk satu hidangan pulut.

Selain itu, manisan durian crepe dan tempoyak yang juga dihasilkan daripada durian Musang King turut disediakan kepada pengunjung.

Presiden Komuniti Musang King Tanah Merah, Mohd Lutfi Yusoff berkata, pihaknya akan mengadakan jualan ini bermula awal Julai sehingga September ini selama tiga bulan sehingga habis musim durian.

"Jika dilihat dalam jangka masa empat hingga lima tahun selepas ini, sebanyak 1,500 tan durian jenis ini bakal dihasilkan dalam satu musim dan ia menyebabkan berlakunya lambakan durian.

"Maka dengan adanya pusat pengumpulan seperti ini, pemilik durian Musang King terutamanya di Tanah Merah dan sekitarnya tidak lagi mengalami masalah jika durian mereka tidak habis dijual.

"Ini kerana kami mahu membantu mereka bukan sahaja dengan menjual buah durian, malah berkongsi keuntungan bersama mereka (pemilik kebun)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lutfi menunjukkan antara jenis Musang King Tanah Merah yang dijual di gerai Komuniti Musang King Tanah Merah.
Lutfi menunjukkan antara jenis Musang King Tanah Merah yang dijual di gerai Komuniti Musang King Tanah Merah.

Lutfi ditemui ketika mengadakan jualan di pusat pengumpulan durian di gerai Komuniti Musang King Tanah Merah berhadapan Jabatan Kerja Raya Tanah Merah, di sini hari ini.

Beliau menambah, kewujudan gerai yang pertama seperti itu di daerah ini juga sebagai rangkaian untuk lebih ramai mengenali Musang King dan bakal menjadi tempat pengumpulan bagi mengeksport durian jenis itu ke pasaran luar.

"Kita dapat bekalan Musang King ini dari sekitar Tanah Merah, Dabong di Kuala Krai dan Jeli.

"Selain Musang King kita juga turut menjual jenis durian lain namun penekanan kita buat masa ini adalah durian Musang King.

"Selain menjalankan perniagaan, kita turut melihat kualiti durian Musang King Raub, Pahang dan kita akan turut mempelajari teknik dan cara penanaman Musang King Raub, dalam usaha mengkomersialkan buah Musang King di daerah ini," katanya.