Status Hassan masih jadi tanda tanya

Hassan Abdul Karim
A
A

JOHOR BAHRU - Dakwaan kononnya Hassan Abdul Karim meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor belum dapat disahkan oleh mana-mana pemimpin parti di negeri ini.

Bagaimanapun, cubaan Sinar Harian untuk mendapatkan respons mengenai kebenaran khabar angin itu daripada Hassan masih belum berhasil.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse ketika ditanya mengenai perkara berkenaan tidak juga dapat memberikan pengesahan sebaliknya memaklumkan hanya presiden parti boleh mengeluarkan kenyataan.

"Pelantikan Pengerusi PKR Johor di bawah perlembagaan parti. Hanya presiden sahaja boleh umum," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, wakil rakyat PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar turut memaklumkan dirinya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Menurutnya, beliau juga tidak mengetahui status terkini melainkan hanya mendengar khabar angin berkaitan peletakan jawatan olej Hassan.

“Saya tidak maklum lagi (peletakan jawatan Hassan), ada dengar khabar-khabar sahaja, jadi tidak boleh nak ulas lanjut.

“Semua jawapan adalah tertakluk kepada keputusan presiden. Saya juga tidak pasti yang beliau (Hassan) sudah hantar surat rasmi kepadanya (presiden),” katanya ketika ditemui di Dataran Bandaraya di sini hari ini.

Mohd Khuzzan yang juga Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan berkata, dirinya bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan.

“Saya sedia dan tidak kisah untuk bekerja dengan sesiapa,” katanya.

Sebuah portal berita melaporkan Hassan dikatakan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PKR Johor pada Jumaat lalu, namun sumber yang dipetik menafikan tindakan dibuat mempunyai kaitan dengan pergolakan dalaman parti.

Sebelum ini, Hassan pernah menolak pelantikan sebagai Pengerusi PKR Johor pada Disember tahun lalu tetapi menerima semula jawatan tersebut.

Malah, Gabungan Ketua Cabang PKR Johor memaklumkan Hassan melepaskan jawatannya melalui kumpulan aplikasi sosial, WhatsApp Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Johor pada 11 Julai lalu.

Difahamkan, gabungan itu juga mencadangkan kepada presiden parti supaya melantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai pengerusi baharu, namun masih belum menerima jawapan.