Saga terus gemilang

A
A

Karya terbaik Proton dan menjadi model ikonik yang terus jadi bualan ramai, pengamal industri

POPULARITI dikecapi Proton Saga sejak dilancarkan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamed 34 tahun lalu sememangnya tidak dapat disangkal lagi.

Dianggap sebagai model ikonik Proton, pelancaran Saga generasi pertama ketika itu begitu pantas memikat hati berjuta pengguna di Malaysia.

Meskipun sudah tiga dekad lamanya mewarnai industri automotif tempatan, hingga kini Proton Saga masih kekal sebagai salah satu karya terbaik oleh pengeluar kereta nasional itu.

SAGA generasi pertama dan kedua dipamerkan di bilik pameran ibu pejabat Proton, Shah Alam, Selangor.
SAGA generasi pertama dan kedua dipamerkan di bilik pameran ibu pejabat Proton, Shah Alam, Selangor.

Memasuki generasi ketiga, Proton Saga baharu yang dilancarkan pada tahun 2016 menerima banyak penambahbaikan dari setiap aspek pembinaan. Ia jauh lebih baik berbanding model generasi terdahulunya seperti Saga FLX.

Hakikatnya, Proton Saga kekal relevan dan menjadi pilihan rakyat Malaysia, semuanya pasti bersebab. Tidak keterlaluan penulis katakan, Saga masih menjadi kereta paling popular dalam rangkaian Proton.

Buktinya, pada April lalu, Proton berjaya merekodkan lebih 3,000 unit model Saga yang berjaya dijual. Buat pertama kali, pencapaian cemerlang dicatatkan sejak tempoh jualan tanpa cukai diumumkan pada tahun 2018.

Jadi, dari situ kita tahu bahawa ia model yang menambat hati. Pun demikian, apakah faktor yang menjadikan Saga begitu diminati oleh pembeli?

Langkah tepat

Terdapat pelbagai sebab yang menjadikan Saga kekal sebagai salah satu model terlaris dalam barisan kereta Proton.

Pertama, Saga ialah sebuah model dengan harga berpatutan. Kos pemilikannya rendah menjadikannya pilihan utama sebagai kereta pertama pembeli. Boleh jadi juga ia sebagai kereta tambahan kedua atau seterusnya.

Bermula dari harga RM33,591 iaitu satu harga belian yang rendah. Ditambah pula kos pemilikan berpatutan dengan kos servis selama tiga tahun yang dianggarkan hanya serendah RM600 setahun.

Seperkara, tawaran rebat dan promosi, meningkatkan lagi pengalaman pemilikan bagi model Saga.

GENERASI ke-2 (2008)
GENERASI ke-2 (2008)

Namun, paling penting ialah kelebihan dari segi kos penyelenggaraannya. Model itu dilengkapi dengan enjin 1.3L VVT yang sangat cekap yang mana ia terbukti pada tahun 2018 ketika acara cabaran 1 Tank Adventure dianjurkan.

Melalui acara itu, peserta-peserta yang menang dalam kategori Saga berjaya memandu dari Johor Bahru, Johor ke Pulau Pinang dengan menggunakan hanya satu tangki bahan api.

Mengagumkan apabila jarak pemanduan itu meliputi lebih 700 kilometer (km). Ini bermakna penggunaan bahan api hanya kira-kira 4.5 liter setiap 100 km! Hebat bukan?












SAGA 2019.
SAGA 2019.

Saga sememangnya mampu dimiliki dan dipandu. Namun lihat pula tawaran Proton Saga dari segi nilai jualan semula?

Ya, seseorang pemilik kereta pada akhirnya tetap akan 'hilang minat' pada kereta mereka.

Meskipun begitu, bagi pemilik-pemilik Saga, sedan popular Proton itu masih mempunyai nilainya sendiri kerana permintaan yang tinggi bagi pasaran sekunder.

Kecemerlangan Proton

Untuk mengekalkan prestasi mantap, sudah tentulah memerlukan sedikit penjagaan rapi. Pusat cawangan servis Proton 3S/4S yang diiktiraf tersedia di seluruh negara.

Tidak perlu risau perkhidmatan jualan dan selepas jualan. Yang pasti, ia mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan untuk memastikan para pelanggan mendapat pengalaman pemilikan premium.

Kini seperti yang kita sedia maklum, Proton telah bekerjasama dengan rakan kongsi baharu iaitu Geely. Secara tidak langsung, proses-proses pengeluaran kereta juga telah diperbaiki dan dinaiktaraf melalui penggunaan sistem Audit Produk Pelanggan Global atau Global Customer Product Audit (GCPA) oleh Geely.












PROTON Saga generasi ke-3 (2018).
PROTON Saga generasi ke-3 (2018).

Dengan sistem GCPA itu, Proton dapat mengenal pasti dan membetulkan sebarang kemungkinan isu berkaitan reka bentuk. Kualiti alat-alat ganti dan aspek pembuatan kenderaan dipastikan sebelum ia dihantar ke bilik pameran.

Sebuah kereta untuk semalam, hari ini dan selamanya. Sebagaimana Proton yang kini bergerak ke arah masa hadapan yang cerah bersama Geely, pembaharuan terhadap model-model semasa giat dilakukan.

Proton X70 telah terbukti menjadi kejayaan besar bagi Proton, manakala pembaharuan yang dilakukan pada Persona dan Iriz 2019 turut mencatatkan kejayaan jualan yang baharu.

Tidak salah sekiranya Proton Saga turut dilakukan pembaharuan. Model itu akan kekal sebagai model yang penting dari rangkaian Proton dan sebuah kereta yang akan terus membanggakan rakyat Malaysia di jalan raya.

Artikel ini ditulis sempena Sambutan Ulang Tahun Proton Saga ke-34 tahun.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia