Jangan dekati lokasi 'pak belang': Polis

Gambar tular sang belang yang dirakam di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun semalam. Gambar kecil: Baharuddin
Gambar tular sang belang yang dirakam di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun semalam. Gambar kecil: Baharuddin
A
A
A

DUNGUN - Polis meminta orang ramai menjauhi dan tidak mengerumuni kawasan penemuan dua ekor harimau belang di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, di sini, seperti pesta kerana dikhuatiri perkara buruk berlaku meskipun haiwan itu kelihatan jinak.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, polis menerima laporan daripada seorang penduduk luar kampung berkenaan yang pergi ke situ untuk melihat harimau sejurus kes itu tular di media sosial semalam.

Katanya, semasa berada di kawasan tersebut, secara tiba-tiba muncul harimau menghampirinya mengakibatkan lelaki itu terkejut turut terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.

"Lelaki itu bernasib baik kerana harimau itu tidak berbuat sesuatu terhadapnya sebelum harimau itu berlalu pergi.

"Walaupun haiwan itu tidak bertindak ganas, tetapi kita bimbang jika ia bertukar menjadi agresif," katanya hari ini.

Tambah beliau, orang ramai dilarang mendekati apatah lagi menyentuh badan haiwan itu kerana perbuatan itu membahayakan nyawa sendiri biarpun pak belang terbabit kelihatan begitu jinak.

"Kita harap orang ramai beri ruang kepada pihak berkuasa untuk lakukan tugas menangkap pak belang ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sedang berusaha menangkap haiwan terbabit," katanya.

Baharuddin juga telah mengarahkan anggota polis dari Balai Polis Bukit Besi mengawal keadaan di kawasan kampung tersebut.

Susulan itu, beliau juga meminta penduduk di kawasan itu sentiasa berwaspada ketika melalui lokasi harimau terbabit berkeliaran dan tidak keluar rumah pada waktu malam.

Dua harimau itu dikesan berkeliaran di Kampung Besol Lama kira-kira jam 9 pagi semalam sekali gus menggemparkan penduduk dan kejadian turut tular di Facebook dan WhatsApp.

ARTIKEL BERKAITAN: Pak belang berkeliaran di Bukit Besi

Macam nak mati bila tengok harimau jilat pinggang saya...