Segerakan 'townhall' dengan penduduk Pasir Gudang

Noor Azleen
A
A

PASIR GUDANG - Susulan insiden terkini melibatkan gangguan kesihatan pelajar di lima buah sekolah di Pasir Gudang semalam, Pemuda UMNO Pasir Gudang menuntut kerajaan segerakan janji untuk mengadakan sesi 'townhall' dengan penduduk.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, perkara itu dijanjikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar 7 Julai lalu, namun sehingga kini sesi perjumpaan itu masih belum berlangsung.

"Pemuda UMNO Pasir Gudang mendesak kerajaan negeri segera mengadakan ‘townhall’ bersama penduduk Pasir Gudang pada kadar segera. Ini merupakan satu tuntutan kepada janji yang telah dibuat oleh Exco Kesihatan sendiri.

"Namun sehingga hari ini, penduduk Pasir Gudang ternanti-nanti akan butiran serta ketentuan perjumpaan ‘townhall’ tersebut dan masih tertunggu-tunggu bila ia akan berlangsung.

"Apa yang lebih mengecewakan adalah kejadian terbaru yang berlaku semalam melibatkan hampir 40 orang pelajar sekolah yang terpaksa mendapatkan rawatan setelah mengalami simptom pencemaran toksik.

"Ini merupakan gelombang ketiga sejak kejadian pertama berlaku pada 20 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 7 Julai lalu, Mohd Khuzzan mengumumkan sesi 'townhall' bersama penduduk Pasir Gudang akan diadakan minggu hadapan daripada tarikh berkenaan tanpa memaklumkan tarikh sebenar.

Semalam 39 pelajar daripada lima buah sekolah di Pasir Gudang dilaporkan mengalami simptom gangguan kesihatan seperti muntah dan sesak nafas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, SK Kopok, SK Kota Masai, SK Pasir Gudang 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort.

Katanya, tindakan memperlihatkan seolah-olah rakyat terus dibiarkan tanpa maklumat mengenai fakta sebenar kejadian berlaku di tempat mereka.

"Walaupun kerajaan negeri beri jaminan keadaan selamat dan terkawal, namun sebaliknya yang berlaku di lapangan.

"Rakyat bukan sahaja dibiarkan resah kerana bimbang akan keselamatan dan tahap kesihatan di Pasir Gudang, malah kecewa kerana tidak dimaklumkan mengenai fakta tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku," katanya.