Video intim: Dalang, pihak terlibat perlu dikenakan tindakan tegas

Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari menegaskan tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik dalam kes pengedaran video intim yang didakwa berkaitan seorang menteri.

Amirudin berkata, dalang dan individu yang terlibat dalam pembikinan dan pengedaran video itu perlu dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya tanpa mengira kedudukan dan status individu berkenaan.

"Bagaimanapun, keadilan juga harus diberikan kepada dia (yang dituduh) peluang untuk membela diri dan sebagainya jika dia percaya dia tidak melakukan kesalahan," kata Menteri Besar Selangor itu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kos penghasilan video intim cecah ratusan ribu ringgit: KPN

Semalam Abdul Hamid dilaporkan berkata hasil siasatan polis terhadap kes video intim berkenaan mendapati wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu

Ketika ditanya mengenai hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) terhadap individu dalam video itu adalah negatif, Amirudin berkata beliau bersyukur berikutan isu itu sudah terlerai.

"Alhamdulillah, semua dah terlerai, dan jangan kita sambung cerita macam ini, we should move on (kita perlu bergerak) ke hadapan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebarangkalian ketulenan video intim adalah tinggi: KPN

Tambah Amirudin mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan ketinggalan zaman kerana rakyat telah lama menolak perbuatan politik kotor sedemikian.

Abdul Hamid dalam kenyataan yang sama semalam turut berkata hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) terhadap video intim berkenaan mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi, bagaimanapun, hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video itu dengan individu yang dimaksudkan.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video intim membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Setakat ini lapan orang termasuk Haziq Abdullah telah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu.- Bernama