Kapal perang AS tembak jatuh dron Iran

Kapal perang USS Boxer menembak jatuh dron Iran di Selat Hormuz.
Kapal perang USS Boxer menembak jatuh dron Iran di Selat Hormuz.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam mendakwa kapal perang AS, USS Boxer menembak jatuh sebuah dron Iran yang berada pada jarak 1,000 meter daripada kapal Angkatan Laut itu dan mengabaikan 'arahan untuk mengubah haluan'.

Dakwaan Trump itu menambah lagi ketegangan hubungan diplomatik antara Washington dan Teheran.

Bercakap di Rumah Putih, Trump berkata, Dron itu mengancam keselamatan kapal dan kru kapal di Selat Hormuz dan segera dimusnahkan.

Dron itu dimusnahkan menggunakan pintasan elektronik, menurut seorang pegawai pertahanan AS.

"Ini adalah tindakan provokatif terbaharu Iran ke atas kapal yang beroperasi di perairan antarabangsa.

"AS berhak untuk mempertahankan diri dan menyeru semua negara untuk mengutuk usaha Iran yang jelas mengganggu kebebasan navigasi dan perdagangan global," kata Trump.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif memberitahu pemberita di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bahawa beliau tidak dimaklumkan Teheran kehilangan dron.

Bulan lalu, AS menuduh Iran menjadi dalang kepada beberapa siri serangan membabitkan kapal tangki minyak di kawasan perairan Teluk.

Artikel Berkaitan:

Teheran menafikan pembabitannya, sebaliknya menuduh Washington mungkin menjadi perancang sebenar kepada serangan, menggunakan operasi itu sebagai alasan untuk menentang Iran.

Hubungan antara Teheran dan Washington agak tegang sejak AS menghentikan perjanjian nuklear berbagai pihak pada 2015 dan mengenakan sekatan terhadap Iran. - Agensi