Australia kena sekatan 3 individu libat kes tembak jatuh MH17

Australia pada Sabtu kenakan sekatan kewangan bersasar dan larangan perjalanan ke atas tiga individu terlibat dalam insiden nahas pesawat MH17 pada 2014. - Foto Bernama
Australia pada Sabtu kenakan sekatan kewangan bersasar dan larangan perjalanan ke atas tiga individu terlibat dalam insiden nahas pesawat MH17 pada 2014. - Foto Bernama
A
A
A

ANKARA - Australia pada Sabtu mengenakan sekatan kewangan bersasar dan larangan perjalanan ke atas tiga individu yang terlibat dalam insiden nahas pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 pada 2014, lapor Agensi Anadolu.

Menteri Luar Australia, Penny Wong dalam satu kenyataan berkata, Australia bekerjasama rapat dengan Belanda dan Kesatuan Eropah untuk menyelaras sekatan ke atas tiga individu yang didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah The Hague pada November 2022 kerana menembak jatuh pesawat Boeing 777 dengan peluru berpandu.

"Sekatan hari ini menyasarkan Sergey Dubinskiy dan Leonid Kharchenko. Pelaku ketiga yang disabitkan kesalahan, Igor Girkin, telah disekat oleh Australia pada 2014 kerana menyokong aktiviti pemisah di timur Ukraine," kata Wong.

Canberra juga mengenakan sekatan terhadap Sergey Muchkaev yang sebelum ini merupakan Komander Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53, pada Julai 2014 (berdasarkan kenyataan itu) membekalkan Buk-TELAR yang digunakan bagi menembak jatuh penerbangan MH17.

MH17 ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu BUK ketika melewati kawasan dilanda konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Pada 2022, mahkamah di Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada tiga individu termasuk warga Rusia Sergey Dubinskiy dan Igor Girkin, serta Leonid Kharchenko dari Ukraine, yang didapati bersalah menyebabkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh manakala seorang lagi warga Rusia, Oleg Pulatov dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Bagaimanapun, Moscow menolak keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai 'skandal' oleh mahkamah Belanda serta menafikan sebarang penglibatannya dalam menjatuhkan pesawat itu. - Bernama/Anadolu