Bakso perisa durian Helmi laris

Walaupun baru diperkenalkan, bakso durian Hilmi mendapat sambutan baik daripada pelanggan.
A
A

BESUT - Selepas berjaya mempopularkan hidangan bakso di daerah ini sembilan tahun lalu, kini Helmi Abd Rashid, 48, memperkenalkan pula bakso berperisa durian.

Pemilik gerai makan Ni Dio Abe Pok Mie Bakso di Pasar Tani Kekal (PTK) Fama Nyior Tujuh, dekat Jertih ini mula menjual bakso di pasar-pasar daerah ini sejak 2010.

Menurutnya, sebelum itu makanan popular dari Indonesia itu tidak begitu mendapat tempat dalam kalangan penduduk di daerah ini malah ramai tidak mengenalinya.

“Saya belajar membuat bakso daging dan ayam dengan pekerja saya yang berasal dari Indonesia ketika saya menjalankan perniagaan di Kuala Lumpur sebelum 2010.

“Sebanyak 13 jenis rempah digunakan untuk menghasilkan makanan tersebut dan sebaik pulang ke Besut saya mula menghasilkan bakso sendiri untuk dijual di pasar malam,” katanya.

Hilmi menunjukkan bihun bakso durian yang dijual di kedainya di PTK Nyior Tujuh.
Hilmi menunjukkan bihun bakso durian yang dijual di kedainya di PTK Nyior Tujuh.

Hilmi berkata, lama kelamaan hidangan bakso semakin dikenali dan digemari penduduk daerah ini malah semakin ramai peniaga menjualnya.

Namun baru-baru ini dia terlintas untuk menghasilkan pula bakso berperisa durian setelah melihat kejayaan pengusaha lemang di sebelah gerainya yang menghasilkan lemang durian.

“Kalau di Indonesia memang ada bakso durian, keju dan beberapa perisa lain selain bakso asli tetapi di sini saya dapati belum ada lagi resipi sebegitu, jadi saya cuba hasilkannya.

“Syukur jualan mi sup bakso durian pada hari pertama kelmarin di gerai saya di sini mendapat sambutan baik daripada pelanggan sehingga ada yang menempahnya,” katanya.

Hilmi berkata, bagi menghasilkan bakso durian, dia menggunakan sebiji buah durian untuk 500 gram daging yang mampu menghasilkan 60 hingga 70 biji bebola bakso.

Menurutnya, harga semangkuk sup bakso durian dijual RM5 sementara bakso spesial RM8 semangkuk.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia