Sampel darah dari Kampung Lubong negatif virus JE

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kesemua sampel sera (darah) yang diambil dari Kampung Lubong, Tambunan di Sabah telah diuji di makmal dan didapati negatif virus Japanese Encephalitis (JE), kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah mendapati pada masa sekarang populasi khinzir di Kampung Lubong berjumlah 80 ekor dan dipelihara secara lepas bebas.

Ahli keluarga yang telah disahkan dijangkiti JE turut memelihara 12 ekor khinzir.

Susulan itu, tindakan segera telah diambil oleh DVS Sabah dengan mengambil sampel sera daripada empat ekor khinzir yang dipelihara keluarga itu dan tiga sampel sera daripada khinzir peliharaan jiran keluarga itu juga telah diambil.

"Bagaimanapun, kesemua sampel sera itu yang diuji di makmal adalah negatif untuk virus JE," kata Dr Quaza Nizamuddin dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebanyak 23 lagi sampel sera telah diambil dari Kampung Lubong semalam, menjadikan keseluruhan sampel sera yang telah diambil sebanyak 30 sampel, dan sampel itu akan diuji di makmal.

"Tindakan susulan untuk mengambil lagi sampel sera daripada baki 50 ekor babi juga akan dijalankan. Pihak berkuasa DVS Sabah yang perlu menangkap khinzir itu memandangkan ternakan itu dipelihara secara lepas bebas," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: