20 restoran diperiksa dalam Ops Gempur Restoran

Mohd Asri semasa melihat keadaan salah sebuah rumah penginapan pekerja yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.
Mohd Asri semasa melihat keadaan salah sebuah rumah penginapan pekerja yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 20 premis restoran sekitar daerah ini diperiksa dalam ‘Ops Gempur Restoran’ yang dijalankan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) dan Pejabat Tenaga Kerja cawangan Bangi, hari ini.

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd Asri Abd Wahab berkata, premis yang diperiksa itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955.

Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JKTSM, Mohd Asri Abd Wahab berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah gagal menyediakan dan menyimpan daftar pekerja di bawah Peraturan 6 (tiada rekod-rekod pekerja), gagal memberi salinan syarat-syarat perkhidmatan kepada pekerja di bawah Peraturan 8 (tiada surat tawaran kerja) dan gagal membayar gaji kerja pada hari rehat mingguan.

"Antara kesalahan lain adalah gagal mematuhi cara pembayaran gaji iaitu gaji dibayar secara tunai tanpa kebenaran bertulis daripada pekerja di bawah Seksyen 25 dan gagal melaporkan pengambilan pekerja asing kepada JTK di bawah seksyen 60K(1).

“Bagi operasi kali ini, sebanyak tujuh saman hadir ke pejabat dikeluarkan oleh JKTSM kepada majikan atas kegagalan mengemukakan dokumen penggajian pekerja ketika pemeriksaan.

“Seksyen 65, Akta Kerja 1955 memperuntukkan kuasa pegawai JTKSM untuk menjalankan pemeriksaan ke atas mana-mana tempat pekerjaan pada bila-bila masa bagi tujuan membuat penyiasatan berkaitan pematuhan undang-undang perburuhan.

“Operasi ini dijalankan selaras dengan aktiviti utama jabatan iaitu Pemeriksaan Tempat Pekerjaan yang merupakan satu medium untuk meningkatkan pematuhan undang-undang perburuhan oleh pihak majikan melalui khidmat nasihat perburuhan dan mempromosikan amalan terbaik perburuhan,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan dekat Bandar Seremban hari ini.

Artikel Berkaitan:


Penguatkuasa JTK semasa membuat pemeriksaan di salah sebuab restoran sekitar Seremban hari ini.
Penguatkuasa JTK semasa membuat pemeriksaan di salah sebuab restoran sekitar Seremban hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JTKSM, Tengku Kamazeri Tengku Ismail.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan tindakan pendakwaan atau kompaun akan diambil sekiranya kesalahan tersebut didapati berasas.

"Majikan boleh didenda maksimum sehingga RM10,000 bagi setiap kesalahan yang disabitkan.

“Jabatan ini akan meningkatkan pemeriksaan ke premis penggajian bagi memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang perburuhan negara dan hak-hak pekerja terpelihara,” katanya.

Sementara itu, katanya, sehingga Jun 2019 ini, sebanyak 143 kes telah didakwa di mahkamah dan 225 kes diberikan tawaran kompaun.

Jelasnya, antara kesalahan yang dilakukan adalah majikan melakukan potongan gaji tanpa kebenaran, membayar gaji lewat, tidak mematuhi gaji minimum, tidak memberikan kontrak perkhidmatan kepada pekerja, tidak membayar gaji kerja lebih masa dan lain-lain kesalahan.