40 murid SK Linggi muntah hidu racun serangga

Pasukan bomba dan penyelamat sedang menyah racun dan membersihkan keadaan mangsa disyaki keracunan racun serangga.
Pasukan bomba dan penyelamat sedang menyah racun dan membersihkan keadaan mangsa disyaki keracunan racun serangga.
A
A
A

PORT DICKSON - Kira-kira 40 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi di sini mengalami muntah dipercayai akibat terkena racun serangga petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, bagaimanapun hanya 13 murid terlibat dikejarkan ke Hospital Port Dickson bagi mendapatkan rawatan.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 2.13 petang oleh pihak hospital untuk bantuan membersihkan dan menyahkan racun daripada anggota badan mangsa.

"Seramai tujuh pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang serta enam pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bergegas ke lokasi dan tiba lima minit kemudian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, berdasarkan maklumat awal, sebelum kejadian dilaporkan terdapat kerja-kerja meracun di kawasan berhampiran sekolah.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian murid-murid mula menunjukkan simptom keracunan.

"Murid yang dikejarkan ke hospitan difahamkan menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Artikel Berkaitan: