Projek tanaman kontan bantu orang asli Bateq

Projek yang menelan peruntukan lebih RM30,000 ini bakal memberi sumber pendapatan kepada orang asli
Projek yang menelan peruntukan lebih RM30,000 ini bakal memberi sumber pendapatan kepada orang asli
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) merancang untuk memperkenalkan tanaman kontan yang diusahakan masyarakat orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh sebagai sumber ekonomi mereka.

Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, tanaman kontan yang menjadi perintis projek adalah terung dan pisang.

Katanya, projek yang menelan peruntukan lebih RM30,000 ini bakal memberi sumber pendapatan kepada orang asli sekaligus menggalakkan mereka untuk menetap secara kekal di kampung berkenaan.

"Kita melihat tanaman terung mampu memberi pulangan yang lebih cepat kepada mereka yang mana kita akan membekalkan benih yang hampir mengeluarkan hasil.

"Peruntukan untuk projek ini telah dimajukan dan kemungkinan akan dapat dilaksanakan pada hujung bulan ini di tanah seluas 100 meter persegi di kawasan perkampungan ini.

"Setiap keluarga akan diberikan kawasan masing-masing untuk dijaga dan diurus. Hasil tanaman itu boleh dijual dan boleh digunakan sebagai sumber makanan mereka juga," katanya.

Gotong royong perdana disertai 25 agensi dan masyarakat orang asli.
Gotong royong perdana disertai 25 agensi dan masyarakat orang asli.

Beliau berkata demikian selepas Program Gotong Royong Perdana di Kampung Kuala Koh, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hashim, penduduk orang asli yang masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Taman Etnobotani, kemungkinan akan dibenarkan pulang pada Ahad ini.

"Kampung berkenaan memiliki 56 keluarga yang meliputi 186 penduduk. Pada minggu hadapan, kesemuanya akan berada di kampung dan memulakan kehidupan seperti biasa.

"Kita akan terus memantau dan memberikan kesedaran tentang kehidupan yang lebih baik dan terjamin," katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Makan nasi 'berlauk' minyak masak