35 sukarelawan Joydec bantu bina tandas, baiki bumbung

Sukarelawan Joydec membantu membaiki bumbung sebuah rumah penduduk daif di Kampung Tenggayun.
Sukarelawan Joydec membantu membaiki bumbung sebuah rumah penduduk daif di Kampung Tenggayun.
A
A
A

PONTIAN - Tiada perkataan lain kecuali ungkapan syukur yang mampu diucapkan lima buah keluarga daif di Tenggayun dan Benut apabila mendapat bantuan daripada Sukarelawan Johor Darul Takzim @Joydec membaiki rumah yang uzur.

Seramai 35 sukarelawan Joydec dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Pontian ( MBDP) terlibat dengan kerja-kerja gotong-royong membaiki rumah dengan kos dianggarkan sebanyak RM7,500.

Yang Dipertua MBDP, Mohd Iskandar Selamat berkata, penglibatan belia secara langsung membantu masyarakat membuktikan mereka juga prihatin dalam menghulurkan sumbangan.

Katanya, kebanyakan sukarela yang berusia seawal 18 hingga 40 tahun ini rata-ratanya mempunyai kerjaya sama ada di sektor kerajaan atau swasta tampil menjadi sukarelawan bagi melakukan kerja-kerja membaik pulih rumah penduduk yang daif.

“Usaha kerajaan Johor menerusi Pejabat Daerah Pontian melaksanakan program seumpama ini perlu diberikan pujian kerana memberi peluang kepada golongan belia terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Mereka menyumbangkan tenaga membaiki rumah malah membina tandas baharu buat keluarga tidak mampu membinanya sendiri,” katanya ketika penyerahan sumbangan kepada sebuah keluarga yang terlibat dengan program tersebut di Kampung Tenggayun di sini hari ini.

Hadir sama, Penghulu Kanan Pejabat Daerah Ilham Mahujan, Pegawai Belia dan Sukan daerah Sidek Md Said dan Penyelaras Sukan Daerah Azezah Ab Rahman.

Tambah Iskandar lagi, pihaknya amat mengalu-alukan pembabitan belia dalam pelbagai program dirancang MBDP.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan giatkan program sukarelawan di peringkat daerah. Masih ada yang memerlukan bantuan atau sekurang-kurangnya bertanya khabar mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.