Bumbung Dewan Besar IKIM runtuh, lima kakitangan cedera

Lima kakitangan IKIM cedera akibat bumbung runtuh. (Gambar kecil: Mohamed Azam)
Lima kakitangan IKIM cedera akibat bumbung runtuh. (Gambar kecil: Mohamed Azam)
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) memaklumkan bahawa bumbung Dewan Besar IKIM yang terletak di Blok B runtuh pada kira-kira jam 11.55 pagi Rabu.

Ketua Pengarah IKIM, Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, insiden tersebut telah menyebabkan lima orang kakitangan mengalami kecederaan ringan.

Bagaimanapun menurutnya, IKIM masih menjalankan operasi seperti biasa.

“Insiden itu berlaku ketika beberapa orang kakitangan sedang membuat latihan bagi penganjuran program Tribute Tan Sri Mohd Kamal Hassan yang dijadualkan pada 2 Jun 2023 di dewan yang sama.

“Kejadian runtuhan bumbung itu turut disedari oleh kakitangan yang berada di blok yang lain ekoran bunyi dentuman yang kuat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, IKIM telah mengambil langkah segera dengan mengalihkan mangsa di tempat kejadian selain menghubungi pihak bomba, Hospital Kuala Lumpur dan pihak polis agar dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kejadian bumbung Dewan Besar IKIM runtuh kira-kira jam 11.55.
Kejadian bumbung Dewan Besar IKIM runtuh kira-kira jam 11.55.

Tambah beliau, berikutan insiden itu, IKIM akan memohon kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian bumbung runtuh itu.

Untuk rekod, Dewan Besar IKIM dibina pada tahun 1993 dan dalam tempoh itu, penyelenggaraan kecil seperti menukar bumbung yang bocor telah dilakukan.