X

Kindly register in order to view this article
!

KKMM beri penekanan aspek keselamatan teknologi 5G

Gobind Singh Deo
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi penekanan kepada aspek keselamatan dalam mewujudkan ekosistem teknologi generasi kelima (5G) persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, kajian berhubung ujian 5G yang turut merangkumi isu keselamatan sedang dijalankan dan laporannya dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

"Kita akan menyediakan satu laporan dan ini akan merangkumi perkara keselamatan, daripada situ kita akan mengemukakan cadangan untuk polisi-polisi di mana kerajaan akan melaksanakan teknologi baharu ini.

"Satu daripada perkara yang kita lihat juga adalah bagaimana kita boleh memberi penerangan mencukupi kepada masyarakat berkenaan apakah sebenarnya cabaran-cabaran menggunakan teknologi yang baharu ini termasuk perkara-perkara berkenaan keselamatan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petrajaya) mengenai sama ada kerajaan bercadang memberi penerangan kepada rakyat mengenai isu keselamatan dan kesihatan yang mungkin timbul hasil pembangunan infrastruktur teknologi maklumat termasuk menara telekomunikasi.

Menjawab soalan asal Fadillah berhubung ancaman kesihatan menara telekomunikasi, Gobind berkata, teknologi komunikasi mudah alih menggunakan frekuensi radio, tergolong dalam kategori sinaran tidak mengion, yang tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk memecah atau mengganggu struktur molekul dan sel tubuh manusia.

Beliau menjelaskan frekuensi radio juga mempunyai tenaga 1,000 kali lebih rendah jika dibandingkan dengan tenaga matahari walaupun kedua-duanya dalam kategori sinaran tidak mengion.

Bagaimanapun, katanya, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus membuat pemantauan ke atas tahap radiasi yang dipancarkan oleh pemancar komunikasi di Malaysia.

Bagi pembinaan menara telekomunikasi di kawasan bandar atau luar bandar, ia perlu berpandukan kepada garis panduan pembinaan menara dan struktur pemancar komunikasi yang telah ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan.

"Garis panduan itu menyatakan keperluan jarak anjakan dengan had ketinggian tertentu, keperluan keselamatan seperti pagar dan langkah penstabilan cerun serta aspek-aspek lain yang perlu dipatuhi oleh syarikat penyedia perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian melalui SKMM juga telah menentukan standard mandatori untuk pancaran medan elektromagnet daripada infrastruktur radiokomunikasi di mana pihak penyedia rangkaian perlu mematuhi had dedahan (exposure limits) yang ditetapkan. - Bernama