Periksa aspek keselamatan rumah sebelum balik kampung - Bomba

Sayani (tiga dari kiri) ketika melakukan pemeriksaan alat keselamatan pencegahan kebakaran di sebuah pasar raya besar.
Sayani (tiga dari kiri) ketika melakukan pemeriksaan alat keselamatan pencegahan kebakaran di sebuah pasar raya besar.
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai perlu meningkatkan aspek keselamatan pencegahan kebakaran di premis dan kediaman masing-masing sebelum pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, semua pihak perlu memastikan peralatan elektrik dimatikan sebelum meninggalkan rumah terutamanya semasa musim perayaan berikutan risikonya lebih tinggi.

Menurutnya, orang ramai harus mengutamakan langkah keselamatan kebakaran, agar tidak berdepan kerugian selepas meraikan perayaan bersama insan tersayang.

“Saya ingin mengingatkan agar semua sentiasa berhati-hati dan patuhi piawaian keselamatan kebakaran dengan memastikan semua peralatan mudah terbakar dan elektrik dimatikan sebelum meninggalkan rumah.

“Berbaki kurang 10 hari menjelang Aidilfitri, ramai isi rumah sibuk membuat persiapan menyambut perayaan dan diharap mereka tidak abaikan aspek keselamatan,” katanya di sini pada Khamis.

Sayani berkata, risiko berlakunya kebakaran meningkat pada musim perayaan dan penting untuk semua pihak meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengambil langkah mencegah kebakaran.

“Kami gesa orang ramai bekerjasama dengan jabatan dan bertanggungjawab bagi mengelak kemalangan tidak diingini berlaku. Ini termasuk premis perniagaan seperti pasar raya besar mematuhi piawaian keselamatan kebakaran terutama dalam aspek pemadaman api.

“Kebiasaan bila musim perayaan stok banyak namun tempat simpanan terhad. Jadi pastikan tiada unsur yang menghalang laluan keluar atau yang boleh menyukarkan pelepasan sekiranya berlaku kecemasan dalam premis perniagaan,” ujarnya.

Menurutnya, pada masa sama, aspek penguatkuasaan ditekankan bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan.

“Dalam memastikan penglibatan masyarakat dari aspek keselamatan, kita akan pastikan ia dipatuhi berdasarkan penguatkuasaan akta kerana orang ramai akan lebih beringat setelah dikeluarkan notis amaran, denda tinggi mahupun didakwa di mahkamah,” katanya lagi.

Sayani memaklumkan, hanya 290 premis di negeri ini telah memperoleh Sijil Perakuan Bomba (FC) setakat ini membabitkan 36 bangunan kerajaan dan 254 premis swasta.

“Sejak Disember lalu hingga Mac tahun ini, lapan kes telah dibawa ke mahkamah atas kesalahan berkaitan ketidakpatuhan FC di bawah Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

“Ini menunjukkan kurangnya kesedaran mengenai piawaian keselamatan kebakaran kalangan masyarakat di negeri ini. Tindakan undang-undang lebih tegas akan diambil bagi memastikan pematuhan semakin meningkat,” jelasnya.

Menurutnya lagi, individu yang gagal mematuhi ketetapan bawah akta berkenaan, boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun.

Menurutnya lagi, sebanyak 181 notis Penghapusan Bahaya Kebakaran juga telah dikeluarkan terhadap premis perniagaan dalam suku pertama tahun ini.

“Antara kesalahan dilakukan, alat pemadan api tamat tempoh, terdapat halangan seperti kotak-kotak besar di tangga dan laluan keluar. Notis dikeluarkan supaya pemilik menghilangkan halangan dan sekiranya tidak boleh dilakukan mereka perlu lakukan kerja-kerja ubah suai semula,” ujarnya.

Menurutnya lagi, jumlah notis yang dikeluarkan itu agak tinggi dan berharap semua pihak memainkan peranan dalam usaha pencegahan kebakaran bagi mengelak kerugian besar.

“Kesedaran masyarakat di tahap sederhana dan sedang menunjukkan peningkatan terutama apabila kita kuat kuasakan undang-undang dengan mengenakan denda tinggi atau dihadapkan ke mahkamah,” tambah Sayani.