Penjara Marang dapat sijil halal

Wan Sani (tiga kiri) menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia disampaikan Mohd Azam.
Wan Sani (tiga kiri) menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia disampaikan Mohd Azam.
A
A
A

MARANG - Penjara Marang menjadi penjara kedua selepas Penjara Tawau, Sabah, yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan diiktiraf dengan taraf kebersihan di bawah kategori A.

Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff, inisiatif itu diambil pihaknya sebagai menyahut seruan pengurusan tertinggi Jabatan Penjara untuk meningkatkan kualiti penyediaan sajian.

Katanya, sebelum ini, Unit Sajian Penjara Marang pernah beberapa kali menerima teguran daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kerana aspek kebersihan yang kurang memuaskan.

"Sebab itu, kita menyahut cabaran bagi melakukan penambahbaikan dengan memohon sijil pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) walaupun prosedurnya ketat dan menyeluruh.

"Dengan garis panduan dan tunjuk ajar diberikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kini premis ini memiliki tahap kebersihan dan keselamatan tinggi untuk layak memiliki sijil itu.

"Malah, telah diaudit Pejabat Kesihatan Daerah Marang dan diiktiraf dengan taraf kebersihan di bawah kategori A,” katanya pada majlis penyerahan SPHM kepada Penjara Marang semalam.

Wan Sani menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia disampaikan Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Islam Terengganu, Mohd Azam Awi.

Ketika ini, terdapat 10 kakitangan penjara bertugas di unit sajian bahagian dapur yang dibantu 88 banduan yang memperoleh Sijil Kursus Penyediaan Makanan daripada Pejabat Kesihatan Marang.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan penjara dan banduan yang terlibat sentiasa memastikan aspek kebersihan diutamakan agar bahagian dapur bersih bagi menyediakan hidangan kepada banduan pada setiap hari.

Sementara itu, Mohd Azam berkata, sehingga Jun 2019, sebanyak 179 SPHM aktif di negeri ini.

Katanya, Unit Sajian Penjara Marang mendapat SPHM di bawah Skim Premis Makanan dan diharap dapat menjadi peringatan, dorongan dan galakan kepada premis lain untuk turut mendapatkan sijil halal.