Kaut untung ribuan ringgit curi, jual kabel

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tiga lelaki yang mengaut untung ribuan ringgit dengan mencuri dan menjual kabel telekomunikasi sejak beberapa bulan lepas di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) diberkas semalam, kata Ketua Polis Daerah SPT, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid hari ini.

Katanya ketiga-tiga suspek yang berumur lingkungan 26 hingga 48 tahun dan bergerak sebagai satu kumpulan itu ditahan ketika mereka baru sahaja mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di Jalan Flat Desa Wawasan, Sungai Rambai di sini kira-kira 2.30 petang.

"Semasa pihak polis tiba di lokasi itu, ketiga-tiga lelaki itu ditemukan dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan lanjut terhadap mereka membawa kepada penemuan kabel dan getah wayar yang sudah dipotong, pemotong wayar dan pemutar skru,” katanya di sini.

Kesemua suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah itu direman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 20 kes kecurian motosikal yang dilaporkan di sini dapat diselesaikan berikutan penangkapan tiga lelaki di Machang Bubok dekat sini semalam yang dipercayai terlibat dalam kes-kes berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata sepasukan polis yang menjalankan operasi pencegahan jenayah di kawasan itu kira-kira 6.30 petang menahan kesemua suspek itu yang sedang membaiki dua motosikal yang kemudiannya didapati dicuri.

Katanya modus operandi mereka ialah dengan menukar nombor pendaftaran dan enjin motosikal yang mereka curi di parkir pusat membeli-belah sebelum dijual dengan harga murah.

"Seorang daripada mereka positif dadah dan tiga lelaki itu kini direman selama empat hari untuk siasatan dan polis juga percaya mereka turut terlibat dalam kes curi motosikal di kawasan Kulim, Kedah," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: