Orang asli Kuala Koh bakal nikmati bekalan air bersih

Rasyidah menyampaikan sumbangan makanan kering dan basah kepada penduduk orang asli.
Rasyidah menyampaikan sumbangan makanan kering dan basah kepada penduduk orang asli.
A
A
A

GUA MUSANG - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang berusaha mendapatkan sumber air bersih daripada air bawah tanah untuk kegunaan orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh, di sini.

Timbalan Menterinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, sumber air bersih ini adalah langkah bijak bagi memberi jaminan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat orang asli di kawasan tersebut.

Katanya, sebelum ini, pihaknya turut mengadakan beberapa lawatan bagi memastikan usaha berkenaan memberi manfaat kepada lebih 100 keluarga orang asli.

"Kita menerima keluhan daripada penduduk orang asli mendakwa bahawa sumber air di kawasan mereka terjejas akibat aktiviti penerokaan tanah di kawasan berhampiran.

"Mereka masih bergantung sepenuhnya kepada sumber air tandak dan sungai. Jadi, sumber air bersih daripada air bawah tanah ini lebih terjamin untuk kegunaan mereka.

"Kita amat prihatin dengan masalah masyarakat orang asli dan usaha ini akan dilakukan secepat mungkin," katanya.

Dalam pada itu, beliau diwakili isterinya yang juga aktivis, Rashidah Ab Rahim, menyampaikan sumbangan makanan kepada masyarakat orang asli di kampung terbabit.

Katanya, sumbangan ini adalah susulan laporan Sinar Harian tentang penduduk orang asli Kampung Kuala Koh memerlukan bekalan makanan apabila mereka hanya makan nasi berlauk minyak masak sejak dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bekalan makanan ini merupakan sumbangan daripada NGO yang prihatin dengan nasib yang menimpa masyarakat suku Bateq di Gua Musang.

Sementara itu, ketua kampung, Mohamad Pokok berkata, sejak kisah penduduk kampungnya tular, ramai penyumbang dan NGO tampil memberikan sumbangan.

"Kami berterima kasih kepada penyumbang dan diharapkan masalah utama kami iaitu sumber air bersih dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.