TEKUN salur RM30 juta pinjaman usahawan Sabah, Sarawak

Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof
Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyalurkan pembiayaan RM35.8 juta kepada usahawan di Sabah dan Sarawak pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.

Katanya, daripada jumlah itu RM18.9 juta disalurkan kepada 1,173 usahawan Sarawak manakala RM16.9 juta kepada 1,951 usahawan di Sabah.

“Sarawak merupakan negeri kedua tertinggi menerima pembiayaan itu pada tahun ini, diikuti Sabah di tempat ketiga tertinggi. Yang tertinggi adalah negeri Selangor,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) yang ingin tahu langkah kementerian itu dalam memperkasa TEKUN dan berapa ramai usahawan dari Sabah serta Sarawak telah dibantu agensi itu berbanding usahawan di Semenanjung.

Katanya, TEKUN telah menyalurkan pinjaman lebih RM700 juta kepada usahawan Sabah dan Sarawak sejak penubuhannya pada 1998 sehingga Mei lepas.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, kementerian juga telah menjalankan beberapa inisiatif untuk membangunkan lebih ramai usahawan muda, di kedua-dua negeri menerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

Di samping itu, program menjana inovasi dan memberi pendedahan permulaan berinovatif turut dilaksanakan yang memberi manfaat kepada 4,496 usahawan muda dari Sarawak. - Bernama

Artikel Berkaitan: