Remaja lemas ketika menjala ikan

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Seorang remaja ditemukan mati lemas di Sungai Muar, Rompin, Bahau dekat sini, selepas tergelincir ke dalam sungai ketika menjala ikan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Muhamad Rasul Hashim berkata, dalam kejadian kira-kira 5.05 petang itu, mangsa K. Sathis Kumar, 16, sedang menjala ikan bersama bapa serta rakan bapanya.

“Mangsa dikatakan telah tergelincir ke dalam sungai dari tebing sungai... bapa mangsa serta rakannya cuba menyelamatkan mangsa dengan menarik tangannya namun gagal apabila mangsa dibawa arus ke bahagian air yang lebih dalam,” katanya.

Menurutnya, seramai sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi 5.20 petang selepas menerima panggilan kecemasan.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi membuat size up (pengumpulan maklumat) bagi memastikan keadaan sekitar dalam keadaan selamat untuk membuat pencarian dengan menggunakan teknik, open surface water rescue... anggota turut memasang tali merentasi sungai berkenaan bagi memudahkan pencarian,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Muhamad Rasul berkata, mangsa akhirnya dijumpai tersangkut di sebatang kayu di dalam sungai.

“Operasi pencarian tamat pada 6.02 petang. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: