Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 dilulus Dewan Rakyat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019, bertujuan memperluaskan standard minimum perumahan dan penyediaan kemudahan asas bagi pekerja dalam semua sektor pekerjaan, diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran ketika membentangkan RUU tersebut bagi bacaan kali kedua, berkata pindaan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 itu, bagi memastikan pekerja dalam semua sektor pekerjaan menikmati perumahan dan penginapan lebih baik, kemudahan asas selesa serta tahap kesihatan dan keselamatan lebih terjamin.

Katanya akta berkenaan pada masa ini, hanya terpakai untuk majikan dalam sektor perladangan dan perlombongan yang menyediakan perumahan kepada pekerja.

Beliau berkata pindaan itu juga dibuat sebagai memenuhi janji kerajaan Pakatan Harapan bagi memastikan perlindungan hak pekerja di Malaysia, setara dengan piawaian antarabangsa.

"Kerajaan Pakatan Harapan berjanji untuk meningkatkan martabat golongan pekerja dan memastikan perlindungan hak pekerja di Malaysia, setara dengan piawaian antarabangsa, termasuklah konvensyen-konvensyen digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pematuhan itu juga membolehkan Malaysia menyertai perjanjian perdagangan bebas dan boleh mengelak syarikat Malaysia daripada dikenakan sekatan perdagangan.

Jelasnya, antara standard minimum yang perlu dipatuhi majikan dalam penginapan termasuk memastikan sistem pendawaian elektrik mematuhi kehendak keselamatan; menyediakan penginapan berasingan untuk pekerja berlainan jantina; memastikan langkah keselamatan kebakaran, selain pekerja menerima bantuan perubatan diperlukan.

Sidang dewan bersambung esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: