Tukang masak maki polis didenda

 Fook Soon (kiri) ditahan di lokap mahkamah sementara urusan denda dijelaskan.
Fook Soon (kiri) ditahan di lokap mahkamah sementara urusan denda dijelaskan.
A
A
A

SHAH ALAM - Padah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota trafik, seorang tukang masak didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Majistret, Erry Shariman Nor Aripin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Yap Fook Soon mengaku bersalah.

Sekiranya gagal membayar denda itu, mahkamah memerintahkan Fook Soon dipenjara tujuh hari.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang berusia 47 tahun itu mengaku mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada Lans Koperal Muhammad Amiruddin Nordin di tepi Jalan Persiaran Setia Dagang, U13 Setia Alam, dekat sini, jam 2.30 petang pada 20 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan- Kesalahan Kecil 1955 ( Akta 36) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Terdahulu, Erry Shariman menasihati lelaki itu agar menghormati tugas yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Saya nak nasihatkan awak, hormatilah pihak berkuasa mereka bukan suka-suka (jalankan tugas). Saya harap selepas ini awak tidak ulangi kesalahan ini," katanya.

Mengikut fakta kes, pengadu, Muhammad Amiruddin bersama rakannya sedang mengeluarkan saman di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang menaiki sebuah kereta Mercedes telah turun dan mengambil gambar pengadu dan rakan serta mengatakan akan tularkan gambar tersebut.

Sebelum beredar, Fook Soong telah mengeluarkan kata-kata tersebut.

Semakan berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia adalah milik lelaki itu dan kawad cam telah dijalankan.

Sementara itu, pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat agar menjadi pengajaran kepada tertuduh.