Kebakaran korban dua beradik tiada unsur khianat

A
A
A

KLANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kebakaran rumah yang mengorbankan nyawa dua beradik di Jalan Utama, Kampung Endah Banting, dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan forensik bomba.

“Tiada tanda-tanda khianat dalam kejadian kebakaran itu dan belum boleh disahkan sepenuhnya ia berpunca dari litar pintas. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang di sini hari ini.

JBPM Selangor menerima sebuah van jenazah hasil sumbangan Presiden Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng. FOTO - Ihsan Facebook JBPM Selangor
JBPM Selangor menerima sebuah van jenazah hasil sumbangan Presiden Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng. FOTO - Ihsan Facebook JBPM Selangor

Dalam pada itu, Norazam yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa berkata, pengorbanan dan jasa ibu bapa mangsa tidak ternilai kerana ketika kejadian kedua-duanya tiada di rumah kerana berada di Pulau Indah bagi menyediakan makanan kepada anggota bomba yang terlibat dalam operasi pemadaman api di sebuah kilang kimia.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua beradik dilapor rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah pada jam 2.48 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dua beradik dalam satu bilik

Artikel Berkaitan:

Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 16, dan Nur Ain Sumayyah Mohd Fakrul Khair, 13, ditemukan meninggal dunia sewaktu operasi menyelamat dilakukan.

Terdahulu, pada perhimpunan bulanan tersebut, JBPM Selangor menerima sebuah van jenazah sumbangan Presiden Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.