4 warga asing ditahan bersama bot bernilai RM600,000

Bot yang dinaiki empat nelayan warga asing ini ditahan pada kedudukan 24 batu nautika dari Kuala Dungun.
Bot yang dinaiki empat nelayan warga asing ini ditahan pada kedudukan 24 batu nautika dari Kuala Dungun.
A
A
A

KEMAMAN - Tindakan pemilik bot nelayan tempatan yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit membawa padah apabila bot berkenaan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Bot dinaiki empat nelayan asing itu ditahan dan diperiksa pada kedudukan 24 batu nautika dari Kuala Dungun, pada jam 10.24 pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, daripada empat nelayan yang ditahan, tiga daripadanya adalah warga Myammar termasuk tekong berumur 33 hingga 40 tahun manakala seorang lagi nelayan warganegara Thailand berumur 33 tahun.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, disyaki pemilik bot menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah dan turut menggunakan saiz mata pukat kurang daripada 38 milimeter.

"Selain itu, bot juga didapati tidak mempunyai alat pengesan vesel penangkapan ikan iaitu Mobile Transceiver Unit (MTU) Jabatan Perikanan serta bot mengoperasikan peralatan radio tanpa sijil kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya.

Ekoran penahanan itu katanya, jumlah rampasan dilakukan dianggarkan bernilai RM600,000 membabitkan nilai bot, hasil tangkapan ikan sebanyak 3,000 kilogram, diesel anggaran 2,000 liter dan peralatan menangkap ikan.

Bot dan hasil rampasan bersama kesemua nelayan tersebut kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk serahan kepada pegawai penyiasat maritim.

Rashidilhadi berkata, bot berkenaan akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, APMM Terengganu dan Zon Maritim Kemaman akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan kepatuhan undang-undang dan keselamatan pengguna maritim di perairan Malaysia sentiasa terjaga.