Atletico tiada bukti tuduh Barcelona

Bartomeu (kanan) menyifatkan Atletico tidak mempunyai bukti menuduh Barcelona mengadakan rundingan awal dengan Griezmann.
Bartomeu (kanan) menyifatkan Atletico tidak mempunyai bukti menuduh Barcelona mengadakan rundingan awal dengan Griezmann.
A
A
A

BARCELONA menyifatkan Atletico Madrid tidak mempunyai bukti untuk menuduh kelab Catalan itu mengadakan rundingan awal dengan Antoine Griezmann dan perlu membayar wang tambahan penebusan klausa pemain itu sekitar €80 juta (RM371 juta).

Juara La Liga itu menandatangani Griezmann untuk tempoh lima tahun selepas menebus klausa pelepasan €120 juta (RM557 juta) dengan Atletico, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Atletico menegaskan Barcelona masih berhutang RM371 juta kerana mendakwa Blaugrana mengadakan rundingan dengan pemain berusia 28 tahun itu sebelum nilai klausa pelepasannya jatuh pada 1 Julai lalu.

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu berkata, serangan yang dibuat Atletico itu hanya tuduhan semata-mata dan tidak mempunyai bukti kukuh.

"Kami sudah menghubungi pengurusan Atletico dan mereka tidak mempunyai bukti. Tetapi saya faham mereka harus mempertahankan kepentingannya dan kami tidak menghalang.

"Kami juga sudah bercakap dengan Presiden Atletico Enrique Cerezo dan kami akan melihat perkembangannya nanti," katanya.

Bartomeu turut menafikan pihaknya mengadakan rundingan dengan Griezmann pada bulan Mac iaitu ketika La Liga masih berlangsung.

"Tidak ada rundingan pada bulan Mac dan kami hanya bercakap dengan Griezmaan ketika dia menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Atletico pada Mei.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu, kami tidak bercakap dengannya lagi dan hanya menghubungi ejennya," kata Bartomeu.

Sementara itu, Cerezo menyatakan sebaliknya dan menegaskan Los Colchoneros mempunyai bukti kukuh mengenai perbuatan Barcelona itu.

"Kelab telah mengeluarkan kenyataan dan sudah tentu kami mempunyai bukti. Kami akan terus menilai kes ini dan turut melihat amaun tambahan yang perlu di bayar Barcelona," katanya.