UMNO teguh setia bersama Pas: Khaled

Penyatuan kedua-dua parti itu mewujudkan gelombang Melayu dan Islam yang mampu menewaskan PH

Mohamed Khaled bersalaman dengan perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di Dewan Dato Seri Dr Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor hari ini.
Mohamed Khaled bersalaman dengan perwakilan yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di Dewan Dato Seri Dr Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - UMNO memberi jaminan tidak sesekali meninggalkan Pas dengan menyertai Bersatu demi kepentingan Melayu dan agama Islam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu tidak sesekali memungkiri janji dan membelakangi Pas terutama dalam keadaan UMNO berada pada tahap paling rendah sejak kewujudannya.

"Kita percaya kerjasama ini bukan sahaja jalan terbaik untuk UMNO, tetapi pilihan terbaik untuk orang Melayu dan semua bangsa di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di Dewan Dato Seri Dr Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Menurutnya, kesatuan UMNO dan Pas menjadi wadah politik Melayu yang sebelum ini tidak pernah dilihat dalam negara.

"Kalau UMNO menyertai Bersatu, ibarat kita kembali bekerjasama dengan orang UMNO yang lama kerana ini bukan kekuatan baru untuk Melayu.

"Penyatuan UMNO dan Pas mampu mewujudkan gelombang Melayu dan Islam yang mampu menewaskan PH," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kedua-dua parti itu lebih berkeyakinan berbanding sekiranya UMNO bergandingan dengan Bersatu malah UMNO mesti diperkasa serta diperkuat supaya terus kekal relevan dan diterima seluruh rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Ini kekuatan baru yang lebih strategik, selain UMNO perlu fokus kepada pemulihan parti. Jangan jadi seperti Bersatu kerana mereka lemah sebab tersepit dengan PKR yang inginkan kerusi Perdana Menteri.

"Saya doakan semua ahli UMNO tabah dan kekal setia menghadapi perjuangan ini untuk memastikan kita kembali memenangi hati rakyat pada PRU15 akan datang," katanya.