Kerjasama UMNO, Pas semakin utuh

Wan Rosdy (tengah) bersama Nazri (Kanan) ketiba tiba di dewan terbabit untuk perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Jerantut hari ini.
Wan Rosdy (tengah) bersama Nazri (Kanan) ketiba tiba di dewan terbabit untuk perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Jerantut hari ini.
A
A
A

JERANTUT - Kerjasama UMNO dan Pas di negeri ini dilihat semakin utuh dalam usaha memperkukuhkan perpaduan ummah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hubungan pemimpin dan ahli daripada kedua-kedua parti ini dilihat semakin erat apabila menghadiri sesuatu majlis atau program.

Menurutnya, hubungan UMNO dan Pas di negeri ini semakin kukuh bermula dengan penganjuran Himpunan Perpaduan Ummah Negeri Pahang pada 26 April lalu apabila lebih 10,000 umat Islam hadir.

"Muktamar Pas kali ini juga berlangsung di negeri ini dan ia membuktikan kami serius dalam menjalinkan kerjasama," katanya pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jerantut yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Nazri Ngah; Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan juga pemimpin Pas iaitu ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud.

Wan Rosdy memberitahu, kehadiran beberapa pemimpin Pas cawangan Jerantut ke program anjuran UMNO Bahagian mampu menjadi contoh kepada segenap lapisan masyarakat.

"Saya harap kerjasama antara UMNO dan Pas ini dapat dikekalkan malah kita akan bergabung untuk menerajui negara demi agama, bangsa dan negara," jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menegaskan pendirian UMNO Pahang untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersama DAP selain menolak sebarang usaha membubarkan UMNO.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, tindakan itu selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Biro Politik UMNO Pusat.

"Selain itu kita tidak mahu mengkhianati hubungan kerjasama antara UMNO dan Pas yang telah kita jalinkan setakat ini.

"Malah setiap gerak kerja UMNO akan dimaklumkan kepada Pas untuk memastikan kerjasama yang dilakukan berjalan baik," katanya lagi.