Agong mampu selesaikan perebutan jawatan PM

Tengku Razaleigh ditemui pada program syarahan bertajuk Masa Depan Politik Melayu anjuran Gagasan Melayu Perak di Dewan Safari Resort Sungai Perak, di sini, malam tadi.
Tengku Razaleigh ditemui pada program syarahan bertajuk Masa Depan Politik Melayu anjuran Gagasan Melayu Perak di Dewan Safari Resort Sungai Perak, di sini, malam tadi.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Pemilihan Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad perlu diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong untuk ditentukan mengikut budi bicara baginda seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, isu pengganti Dr Mahathir bukanlah besar dan sukar untuk diselesaikan tetapi sengaja ditimbulkan seolah-olah ia tidak boleh diselesaikan.

Katanya, dengan menyerahkan kuasa melantik perdana menteri itu kepada Agong, pentadbiran negara dapat memberi fokus kepada penyelesaian janji kepada rakyat.

"Apabila perdana menteri meletakkan jawatan, dia boleh cadang penggantinya tetapi Agong boleh menggunakan budi bicaranya untuk melantik sesiapa di kalangan Ahli Parlimen yang difikirkan mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen.

"Apabila selesai masalah ini, rakyat boleh diberikan tumpuan oleh kerajaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah,"katanya ketika menyampaikan syarahan dalam program Bicara Bersama Tokoh bertajuk Masa Depan Politik Melayu anjuran Gagasan Melayu Perak di Dewan Safari Resort Sungai Perak, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu merasakan Drv Mahathir perlu diberikan peluang untuk mentadbir negara dalam tempoh yang telah dipersetujui.

Katanya, desakan pihak tertentu agar mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya tindakan sia-sia kerana kuasa melantik perdana menteri ditentukan oleh Agong.

"Nampaknya orang dah jolok Anwar nak ganti (Dr Mahathir) tapi soalnya bukan orang yang jolok menentukannya, itu terpulang kepada Agong apabila Dr Mahathir berhenti (melepaskan jawatan perdana menteri). Proses ini mudah sebenarnya.

Artikel Berkaitan:

"Mahathir nampaknya tak suka dipaksa-paksa begitu dia kata ada perjanjian (serah jawatan perdana menteri) tapi dia nak masa," katanya dalam sidang media selepas program tersebut.

Isu peralihan jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir kepada Anwar terus mencetuskan polemik selepas beberapa kenyataan sebelum ini yang mahukan ia dipercepatkan.

Bagaimanapun terdapat beberapa pemimpin dalam PH yang mahukan lebih masa diberikan kepada Dr Mahathir menjadi perdana menteri untuk menyelesaikan pelbagai isu dalam negara.