Penduduk terpaksa guna air bukit

Sivarasa (tengah) berbincang dengan pegawai dan pimpinan setempat berhubung masalah air dalam lawatannya di Bukit Tebu Tanah Merah hari ini.
Sivarasa (tengah) berbincang dengan pegawai dan pimpinan setempat berhubung masalah air dalam lawatannya di Bukit Tebu Tanah Merah hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Masalah bekalan air bersih di Kelantan khususnya di Jeli mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang menyifatkan isu tersebut perlu ditangani secepat mungkin berikutan kebanyakan penduduk terpaksa menggunakan bekalan air tandak (air bukit) untuk kegunaan harian.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata, setakat ini pihaknya menerima laporan berhubung pengunaan air tandak yang melibatkan 62 sistem berkenaan di kawasan perkampungan di Jeli.

"Ini melibatkan ratusan kampung dan ribuan rumah dan masalah ini perlu ditangani segera oleh pihak KPLB.

"Perkara ini mungkin berlaku disebabkan ada kampung terlalu jauh dari paip utama dan sistem paip utama sedia ada kurang berfungsi walau Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah menyediakan loji air dan paip, namun terkanan air kurang dan bila kemarau tiada bekalan air," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bukit Tebu di sini hari ini.

Sivarasa ditemui selepas mengadakan lawatan kerjanya di Kelantan bermula semalam dan beliau turut ke perkampungan termasuk, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat.

Beliau berkata, masalah dan kebersihan air tandak juga perlu diambil perhatian kerana ia harus dimasak sebelum digunakan sebagai minuman kerana dikhuatiri air terbabit tercemar.

Menurut Sivarasa, dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan pedalaman termasuk di Jeli dan beberapa perkampungan lain, pihaknya akan membawa perkara itu ke Putrajaya dan berbincang dengan pihak pimpinan atasan kementerian dalam usaha menyelesaikan masalah berkenaan dan bertindak segera.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam lawatan berkenaan, beliau menjelaskan lawatan ke beberapa lokasi bertujuan beliau turut melawat beberapa lokasi bagi mengenal pasti permasalahan di Kelantan termasuk berkaitan isu air dan jalan raya yang melibatkan penduduk pedalaman.

"Kita mahu beri perhatian antara kawasan yang dikategorikan miskin di Kelantan bagi membantu dan bertindak di bawah hal berkaitan KPLB dalam usaha menyelesaikan perkara terbabit dengan tindakan susulan," katanya.