Kastam bakal guna pengimbas canggih atasi penyeludupan

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A
BUTTERWORTH - Kerajaan akan membekalkan beberapa buah alat pengimbas yang canggih bernilai RM700 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membendung aktiviti penyeludupan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, JKDM memerlukan peralatan canggih berkenaan bagi menangani aktiviti penyeludupan yang menyebabkan kerajaan kehilangan berbilion ringgit setiap tahun.

“Kerajaan merancang meletakkan 55 alat pengimbas kargo yang dianggarkan bernilai RM12 juta sebuah di semua pelabuhan.

"Selain itu, lapan buah alat pengimbas bagasi dan enam alat pengimbas badan juga akan dibekal di semua lapangan terbang di seluruh negara pada penghujung tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Dewan Serbaguna Kastam di Perumahan Kastam di sini, hari ini.

Menurutya, kerajaan tidak semestinya membeli kesemua peralatan pengimbas tersebut tetapi akan menggunakan kaedah lain seperti sewa pajak bagi mengurangkan perbelanjaan.

"Kalau beli, kita akan buat secara tender terbuka kerana anggaran kos keseluruhan untuk kesemua alat pengimbas itu adalah RM700 juta.

“Kita berharap dengan adanya peralatan pengimbas yang canggih ini, hasil kutipan cukai kerajaan akan meningkat," katanya.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan kehilangan hampir RM5 billion setahun akibat aktiviti penyeludupan rokok.
Artikel Berkaitan:


“Disebabkan itu, penguatkuasaan aktiviti penyeludupan rokok ditingkatkan dengan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM500,000.

"Oleh itu, saya ingin menasihatkan semua peniaga supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan rokok atau menjual rokok tanpa duti supaya tidak dikenakan tindakan," katanya. - Bernama