KPKWM perluas kursus keibubapaan menerusi HRDF: Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berucap pada Forum Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru sempena Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Kebangsaan 2019 di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia hari ini. Foto: Bernama
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berucap pada Forum Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru sempena Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Kebangsaan 2019 di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

SERDANG - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM) kini memperluaskan kursus keibubapaan di bawah Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, untuk tujuan itu, 500 pekerja syarikat swasta menjadi perintis kursus berkenaan yang dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk tahun ini.

Beliau berkata, HRDF bersetuju membiayai kursus berkenaan melibatkan nilai pembiayaan berjumlah RM62,500.

"Bermula 9 Julai 2019, LPPKN dilantik sebagai penyedia latihan keibubapaan berdaftar kepada majikan sektor swasta untuk tempoh tiga tahun.

"Ini projek rintis kerjasama antara HRDF dan LPPKN dan kursus ini layak ditawarkan kepada syarikat yang berdaftar dengan HRDF sahaja," katanya ketika berucap merasmikan Forum 'Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru' sempena Sambutan Hari Ibu Bapa peringkat Kebangsaan 2019 di Universiti Putra Malaysia, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri KPKWM berkata, pembiayaan HRDF adalah menerusi pemberian insentif yuran latihan kepada majikan yang berdaftar dengan HRDF melibatkan hampir 27,000 syarikat.

"Langkah ini diharap dapat memperkukuh institusi kekeluargaan di negara ini," katanya.

Beliau juga berkata Kementerian Sumber Manusia turut mengiktiraf bidang kemahiran keibubapaan dalam senarai latihan bidang berdaftar di bawah HRDF.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata, sehingga Mac 2019, LPPKN melaksanakan sebanyak 21, 561 program pendidikan kekeluargaan dan sejumlah 2.7 juta peserta memperoleh manfaat.

Beliau juga berkata kerajaan meletakkan sasaran bagi mencapai indeks kesejahteraan keluarga melepasi skor 8.00 menjelang 2020.- Bernama