Dr Wan Azizah dianugerahkan Fellow Kehormat AMM

Sultan Nazrin (kanan) menyaksikan pengurniaan anugerah fellow kehormat Akademi Perubatan Malaysia kepada Dr Wan Azizah. - Foto Bernama
Sultan Nazrin (kanan) menyaksikan pengurniaan anugerah fellow kehormat Akademi Perubatan Malaysia kepada Dr Wan Azizah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Jumaat berkenan mengurniakan anugerah fellow kehormat Akademi Perubatan Malaysia (AMM) kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Penganugerahan itu diadakan pada Kongres Perubatan Malaysia-Singapura ke-56 sempena Kongres Antarabangsa MyWoman 2023 yang diperkenan dirasmikan oleh Sultan Nazrin di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Dr Wan Azizah semasa menyampaikan Syarahan Tun Ismail ke-24 bertajuk Pasca Covid-19: Kesihatan Mental Dalam Kalangan Wanita di Malaysia berkata laporan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia yang dikeluarkan pada Oktober 2020 menyatakan insiden penyakit mental dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat dua kali ganda semasa pandemik Covid-19.

"Dianggarkan hanya 20 peratus rakyat Malaysia yang menghidap penyakit mental mempunyai akses kepada penjagaan profesional disebabkan stigma sosial,” kata pakar oftalmologi berusia 71 tahun itu.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, prejudis dan diskriminasi terhadap individu yang menghidap penyakit mental menyebabkan golongan ini dipinggirkan dalam masyarakat dan senario itu boleh membawa kepada keburukan.

Katanya, beliau juga terkejut mendengar laporan mengenai individu-individu terkenal yang membunuh diri.

"Kita fikir mereka sangat berjaya namun ada sesuatu yang disembunyikan dan kita tidak mahu sehingga keadaan sebegitu terjadi,” katanya.

Dr Wan Azizah turut menggesa semua pihak untuk membantu mempromosikan perkhidmatan yang menyediakan sokongan psikologi emosi dan kaunseling seperti Talian Kasih 15999 dan Talian Heal 15555.

Katanya, Talian Kasih kini mempunyai perkhidmatan Whatsapp untuk menolong mereka yang tidak boleh bercakap dan mendengar.

Beliau berkata, Covid-19 mendatangkan lebih beban mental ke atas wanita memandangkan 99 peratus pelanggan Talian Kasih dan 71 peratus pemanggil Talian Heal adalah wanita.

Dr Wan Azizah turut berkongsi pengalaman peribadinya apabila terpaksa berhenti menjadi doktor, perubahan yang dialaminya daripada seorang isteri timbalan perdana menteri sehinggalah beliau memasuki arena politik.

"Ia memerlukan kekuatan mental yang tinggi untuk terus (berjuang)...” katanya.

Beliau juga menasihatkan doktor muda supaya menjaga kesihatan mereka.

"Rawat diri anda dahulu kemudian barulah anda boleh merawat orang lain, insya-Allah,” katanya. - Bernama