Hasrat bercuti tak kesampaian, pegawai ladang sawit maut

Keadaan bahagian belakang Proton Wira selepas kemalangan berlaku. (Gambar kecil: Mohd Shamsul Iftitah)
Keadaan bahagian belakang Proton Wira selepas kemalangan berlaku. (Gambar kecil: Mohd Shamsul Iftitah)
A
A
A

KEMAMAN - Hasrat seorang pegawai ladang kelapa sawit untuk pulang ke kampungnya sempena cuti hujung minggu tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar belakang sebuah kereta rosak yang berhenti di lorong kecemasan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi, di Kilometer 322 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran dengan susur keluar Plaza Tol Kerteh, di sini, mangsa, Mohd Shamsul Iftitah Husnan, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa yang juga ahli jawatankuasa (AJK) Armada Bersatu Bahagian Kemaman merangkap AJK Bersatu Bahagian Kemaman menghembuskan nafas akhir akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, semasa kejadian mangsa yang bekerja di Felcra Kampung Wa, Dungun dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Bandar Seri Bandi.

"Mangsa dikatakan sering menggunakan laluan tersebut untuk pulang ke kampungnya sempena cuti hujung minggu dan ketika kejadian mangsa menunggang bersendirian motosikalnya itu.

Bahagian hadapan motosikal mangsa remuk selepas melanggar Proton Wira yang diletakkan di lorong kecemasan.
Bahagian hadapan motosikal mangsa remuk selepas melanggar Proton Wira yang diletakkan di lorong kecemasan.

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di tepi lebuh raya akibat mengalami kerosakan," katanya.

Menurutnya, kereta berkenaan mengalami kerosakan pada bateri dan pemilik kereta terbabit juga telah memasang lampu kecemasan keretanya sebelum kejadian.

Artikel Berkaitan:

Kata Mohd Haki, pemilik kereta yang terlihat motosikal mangsa cuba memberi isyarat kepada mangsa namun mangsa tidak disedarinya sebelum melanggar belakang kereta tersebut.

Ekoran perlanggaran tersebut, mangsa tercampak sejauh beberapa meter di atas jalan sebelum disahkan meninggalkan dunia oleh anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian.

Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1 ) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.