Nelayan Vietnam agresif, langgar kapal Maritim

Ismail (berdiri, dua kanan) memeriksa nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara. (Gambar kecil: Ismail )
Ismail (berdiri, dua kanan) memeriksa nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara. (Gambar kecil: Ismail )
A
A
A

PASIR PUTEH - Satu daripada dua bot nelayan asing Vietnam bertindak agresif dengan beberapa kali melanggar kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dalam usaha mengelak ditahan.

Insiden itu berlaku ketika aset Maritim KM Pekan yang diketuai Pegawai Memerintah, Kepten Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daud menjalankan Op Makmur, Op Iman dan Op Damai di perairan Kelantan kelmarin.

Pemangku Pengarah Maritim Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, KM Pekan mengambil masa empat jam untuk menahan bot yang bertindak agresif itu.

Katanya, bot itu ditahan jam 2.40 petang pada jarak 97 batu nautika dari kuala Tok Bali itu.

"Bot Vietnam itu bukan sahaja melanggar kapal Maritim, malah turut bertindak menjatuhkan pukat ke dalam air bagi menyekat pergerakan kapal Maritim.

"Bot itu juga melakukan pergerakan berbahaya tetapi akhirnya berjaya ditahan," katanya dalam sidang akhbar di Jeti Operasi Maritim Malysia Kelantan di Tok Bali hari ini.

Ismail (dua kiri) memeriksa hasil tangkapan nelayan Vietnam.
Ismail (dua kiri) memeriksa hasil tangkapan nelayan Vietnam.

Ismail berkata, seorang tekong bersama.17 awak-awak dari bot kedua berjaya ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Seorang tekong dan dua awak-awak dalam bot pertama ditahan jam 1.12 petang pada jarak 92 batu nautika dari kuala Tok Bali," katanya.

Tambahnya, hanya empat daripada 21 nelayan yang berusia dari 17 hingga 55 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Kita mengesyaki bot kedua juga telah membuang alat navigasi Global Positioning System (GPS) untuk menghilangkan bukti kedudukan mereka di perairan negara.

"Mereka dibawa ke Jeti Maritim untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.

Nilai rampasan katanya, mencecah RM1.5 juta merangkumi bot, peralatan menangkap ikan, ikan seberat 1.05 tan dan sotong yang dikeringkan seberat 60 kilogram.

Dalam tempoh 79 hari Op Naga katanya, sebanyak 62 bot ditahan yang mana 49 daripadanya merupakan bot nelayan asing Vietnam.