Dua tarikan baharu di Klang menjelang 2022

Syaiful Azmen menunjukkan pelan pembangunan di Taman Pengkalan Batu.
Syaiful Azmen menunjukkan pelan pembangunan di Taman Pengkalan Batu.
A
A
A

SHAH ALAM - Taman awam Pengkalan Batu dan hutan paya bakau di muara Sungai Klang adalah dua produk ekopelancongan yang bakal beroperasi di Klang menjelang 2022.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin berkata, projek pembangunan di bawah Selangor Maritime Gateway (SMG) kini di peringkat permulaan dan fasa pertama bakal disiapkan tahun hadapan.

Menurutnya, jarak kedua-dua projek yang dianggarkan sejauh 15 kilometer (km) itu bakal menawarkan teksi air sebagai pengangkutan penghubung ke destinasi tersebut.

"Kedua-dua projek yang menelan kos RM24 juta ini adalah kesinambungan projek SMG selepas fasa pembersihan kepada rehabilitasi dan pembangunan Sungai Klang yang dimulakan sejak 2016.

"Selain pembersihan, SMG turut menumpukan kepada peranan Sungai Klang sebagai lokasi aktiviti riadah dan sumber ekonomi buat penduduk setempat," katanya.

Pelan ilustrasi Taman Pengkalan Batu.
Pelan ilustrasi Taman Pengkalan Batu.

Beliau berkata, sebanyak 50,000 tan metrik sampah telah dikeluarkan dari Sungai Klang dalam operasi pembersihan sejak 2016 sehingga kini.

"Secara tidak langsung visi menghidupkan kembali Sungai Klang mula menampakkan hasil dengan peningkatan taraf kualiti air yang sebelum ini berada di kelas lima meningkat ke kelas tiga iaitu dari status kotor kini semakin pulih.

Artikel Berkaitan:

"Sasaran meningkatkan kualiti air tidak mampu direalisasikan tanpa penglibatan orang awam dengan meningkatkan kesedaran penjagaan sungai," katanya.

Justeru katanya, selepas siapnya kemudahan awam itu, program pendidikan dan kelestarian akan diteruskan.

"Selain menyediakan pavilion untuk aktiviti riadah, proses rawatan air terbuka di Pengkalan Batu bakal diwujudkan bagi membolehkan orang awam melihat prosesnya secara lebih dekat.

SMG merupakan projek pembersihan Sungai Klang ke arah meningkatkan peranannya sebagai ekonomi baharu di Selangor.
SMG merupakan projek pembersihan Sungai Klang ke arah meningkatkan peranannya sebagai ekonomi baharu di Selangor.

"Pembinaan laluan pejalan kaki sejauh 1.6km di hutan paya bakau pula membolehkan pengunjung lihat lebih dekat hidupan itu yang boleh dijadikan terapi menangani tekanan jiwa," katanya.

Beliau meletakkan keyakinan, konsep projek pelancongan mesra alam itu mampu menarik pengunjung khususnya di Lembah Klang.

SMG merupakan projek pembersihan Sungai Klang berkeluasan 35,612 hektar ke arah sumber ekonomi baharu membabitkan pembangunan perdagangan, perhotelan, pelancongan, perumahan dan industri perkhidmatan.

Dalam meningkatkan tahap kualiti air secara konsisten, alat pengesan dipasang bagi pengumpulan data yang dipantau dari semasa ke semasa.