'Ayah, Amin minta maaf'

Pemergian arwah anak bongsu mereka meninggalkan kesan mendalam kepada Safaruddin dan Zaharah.
Pemergian arwah anak bongsu mereka meninggalkan kesan mendalam kepada Safaruddin dan Zaharah.
A
A
A

BUKIT BERUNTUNG - Kanak-kanak berusia empat tahun yang meninggal dunia akibat lemas di parit belakang Apartmen Dahlia petang semalam menunjukkan kelakuan manja luar biasa dari kebiasaan.

Bapa mangsa, Safaruddin Mohd Khalid, 53, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu, Muhammad Amin Shah mahu tidur bersama dan mengulang perkataan meminta maaf.

Menurutnya, pada hari kejadian, dia keluar ke Bandar Kuala Kubu Bharu sendirian manakala Amin ditemani ibu di rumah.

"Memang setiap malam saya dan Amin selalu bergurau tapi dalam dua hari (sebelum kejadian), Amin akan ulang perkataan 'ayah, Amin minta maaf'.

"Selagi saya tak balas cakap 'iya, ayah maafkan Amin', dia tak akan tidur. Cuma nampak lain bila dia bersungguh nak tidur dengan saya.

"Arwah dilahirkan pra matang dan sangat suka bergurau malah bila saya balik kerja, dialah yang akan sambut peluk saya. Hilang rasa penat kerja," katanya kepada Sinar Harian.

Safaruddin yang merupakan pesara tentera kini bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia mengetahui kejadian tersebut ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Kubu Bharu selepas dihubungi anak ketiga.

Menurutnya, jarak lokasi kejadian dengan rumahnya hanya hampir 20 meter dan dia pengsan seketika sebaik melihat jasad anaknya dinaikkan ke permukaan air oleh pasukan penyelamat.

Artikel Berkaitan:

Lokasi parit yang terletak di belakang Apartmen Dahlia itu mempunyai kedalaman empat meter.
Lokasi parit yang terletak di belakang Apartmen Dahlia itu mempunyai kedalaman empat meter.

Sementara itu ibu mangsa, Zaharah Mokhtar, 48, berkata, anak bongsunya akan bermain seperti kebiasaan bersama rakan lain di kawasan bawah blok Apartmen Dahlia.

Menurutnya, pada pagi hari kejadian, arwah Amin menunjukkan reaksi terlalu gembira selepas meminta kebenaran keluar untuk bermain.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 4 tahun lemas jatuh longkang

"Saya berada dalam rumah dan kali pertama keluar, saya nampak Amin masih ada lagi. Tapi bila sekali lagi keluar menjenguk, sudah tiada siapa di luar.

"Saya pergi rumah jiran untuk mencari Amin. Tidak lama kemudian seorang anak jiran berusia enam tahun balik dalam keadaan basah dan masuk dalam bilik air tanpa cakap apa-apa.

"Saya mula risau sebab Amin tak ada bersama anak jiran dan dapat berita ada budak lemas melalui mesej dalam kumpulan WhatsApp penduduk," katanya.

Zaharah berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian dia menjumpai sepasang selipar milik anaknya berada di tebing parit berkenaan.

Sepasang selipar milik Amin dijumpai di tebing parit
Sepasang selipar milik Amin dijumpai di tebing parit

Menurutnya, kawasan parit itu mempunyai pagar namun pada hari kejadian, pintu pagar didapati terbuka.

Jenazah Allahyarham Amin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung kira-kira jam 10 pagi tadi.

Sinar Harian semalam melaporkan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.40 petang.

Mayat mangsa dijumpai Pasukan Penyelamat Di Air pada jam 4.11 petang di parit yang mempunyai kedalaman empat meter.