Khairy tak dapat terima kebangkitan Najib: Lokman Adam

Lokman Noor Adam. -Foto Sinar Harian Zahid Izzani
Lokman Noor Adam. -Foto Sinar Harian Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar masih tidak dapat menerima kebangkitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lokman berkata demikian susulan kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO itu yang dilihat tidak bersetuju dengan pelantikan Najib sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Menurutnya, beliau tidak terkejut dengan kenyataan dikeluarkan Khairy Jamaluddin kerana beliau sememangnya dari dulu meletakkan semua bebanan kekalahan BN ke atas Najib.

“Sebab itu bila akar umbi kebanyakannya ahli UMNO dan penyokong BN dan Pas boleh menerima kembali Datuk Seri Najib, KJ ini agak sukar hendak terima.

“Sebab dia awal-awal lagi sudah menjangkakan akan jatuh terus dan tak mungkin dapat kembali dan dia memang awal-awal lagi 'memukul' Datuk Seri Najib," katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilaporkan memberi kenyataan secara sinis Rabu lepas mengatakan dia tiba-tiba berasa tidak gembira ketika ditanya tentang pelantikan Ahli Parlimen Pekan itu sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga tidak bersetuju dengan keputusan itu dan menyifatkan pelantikan Najib selaku sebagai 'langkah ke belakang'.

Kenyataan Nazri turut dibidas Lokman malah beliau mendakwa bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu mempunyai kerjasama dengan musuh BN iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim maka tidak hairanlah beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya bahawa Nazri memang ada hubungan dan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga DAP.

“Beliau lebih percaya bahawa disebabkan sokongan masyarakat Cina hari ini lebih kepada DAP maka dia berasakan bahawa sudah tiba masanya DAP diangkat menjadi parti komponen menggantikan MCA dan Gerakan,” katanya lagi.