Dua wanita direman kes tipu pakej umrah

Dua wanita direman selama dua hari bermula hari ini.
Dua wanita direman selama dua hari bermula hari ini.
A
A
A

TEMERLOH - Dua wanita dipercayai dalang utama kes penipuan pakej umrah berjumlah RM41,800 membabitkan 19 peserta dari Temerloh direman selama dua hari bermula hari ini selepas dihadapkan ke Mahkamah Temerloh hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah,Hayatul Hafifie Hisham.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, wanita berusia 33 tahun itu ditahan di Shah Alam, Selangor semalam bersama pembantu peribadinya berusia 22 tahun yang juga pemilik akaun dalam kes berkenaan.

Tangkapan itu dilakukan selepas laporan polis dibuat oleh seorang peniaga di Temerloh yang menyedari dirinya tertipu oleh sindiket tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof memberitahu, pada 21 November tahun lalu, mangsa ditawar menunaikan umrah dengan sebuah syarikat agensi pelancongan yang dikendalikan oleh seorang perempuan.

"Perempuan itu memaklumkan sebahagian perbelanjaan umrah akan ditanggung oleh penaja yang berpangkat Datuk berjumlah RM 5,000 dan peserta jemaah hanya perlu membayar RM2,200 seorang.

"Pada 27 November tahun lalu, mangsa telah memasukan wang bayaran umrah berjumlah RM2,200 ke dalam akaun diberikan dan dimaklumkan akan berlepas ke tanah suci pada 1 Disember tahun sama.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun ejen tersebut kemudiannya memaklumkan ia terpaksa ditunda pada tarikh yang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pada 19 Disember tahun sama, ejen agensi pelancongan terbabit menyatakan sesiapa yang ingin menarik diri boleh berbuat sedemikian dan wang akan dikembalikan dalam masa tiga minggu.

"Sehingga hari ini mangsa masih belum mendapat kembali duit tersebut dan pada pertengahan bulan Januari lalu pasport berserta gambar dua keping milik mangsa telah dikembalikan.

"Mangsa mendapat makluman wangnya akan dikembalikan pada 14 Mac lalu tetapi sehingga kini mangsa masih belum menerima wang tersebut," katanya.

Ujarnya, berasakan dirinya ditipu, mangsa baru-baru ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh (IPD).