Dewan rakyat ucap selamat ulang tahun kelahiran kepada Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kehadiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat hari ini disambut dengan ucapan selamat ulang tahun kelahiran.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohammad Ariff Md Yusof menyampaikan ucapan tersebut mewakili ahli-ahli Parlimen sebelum sesi pertanyaan lisan bermula sambil mendoakan Dr Mahathir dipanjangkan umur, diberi kesihatan yang baik dan fikiran yang bijaksana untuk memimpin negara.

“Bagi pihak ahli-ahli Dewan Rakyat Parlimen Malaysia dengan penuh sukacita ingin menyampaikan ucapan selamat hari ulang tahun kelahiran yang ke-94 kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.

“Sesungguhnya semangat gigih Yang Berhormat Tun pada usia ini akan menjadi pembakar semangat kita semua dalam usaha masing-masing untuk memartabatkan negara ini. Terima kasih,” katanya.

Dr Mahathir kemudian mengucapkan terima kasih atas ucapan berkenaan sebelum menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) berhubung prestasi Malaysia Airlines Berhad.

Di lobi Parlimen, pengamal media turut meraikan ulang tahun kelahiran Dr Mahathir dengan menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ selepas selesai sidang media oleh perdana menteri. - Bernama

Artikel Berkaitan: