Perhilitan siasat tular harimau kumbang di LPT2

MNoor Arifin berkongsi enam keping gambar harimau kumbang di laman sosial Facebook miliknya semalam.
MNoor Arifin berkongsi enam keping gambar harimau kumbang di laman sosial Facebook miliknya semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gambar seekor harimau kumbang di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tular sejak semalam selepas ia dimuat naik oleh seorang pengguna yang mendakwa terserempak dengan haiwan itu.

Sehingga jam 6 petang semalam, status yang dimuat naik seorang lelaki yang berasal dari Kuala Terengganu di laman sosial Facebooknya itu mendapat lebih 1,000 tanda suka, 663 komen dan 538 perkongsian.

Pemilik akaun menggunakan nama MNoor Arifin itu berkongsi enam keping gambar haiwan itu yang diambil pada jarak jauh.

Katanya, gambar itu diambil ketika dia dalam perjalanan menuju ke Janda Baik, Pahang, pagi semalam.

Menyifatkan kejadian itu sebagai detik bersejarah, MNoor Arifin berkata, dia bertuah kerana berpeluang melihat harimau kumbang yang merupakan antara spesies terancam.

“Mudah-mudahan harimau kumbang ini dapat mencari habitat asalnya. Ada sesiapa yang pernah terserempak juga ke? Mungkin ada tetapi tak sempat ambil gambar kan,” tulisnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara itu.

Beliau turut meminta orang ramai memaklumkan segera kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan semasa melalui LPT2.

Artikel Berkaitan:

“Maklumat itu penting bagi membolehkan kita mengambil tindakan susulan sekiranya ada kejadian pagar bocor dan sebagainya.

“Apa pun saya minta orang ramai berhati-hati ketika memandu di LPT2 kerana kemungkinan risiko haiwan melintas.

“Sebarang aduan haiwan melintas, pandangan atau cadangan boleh menghubungi Perhilitan Terengganu di talian 09-6221460,” katanya.